suria

Farah Asyikin Mahu Pertahankan Rumah Tangga

PETALING JAYA: Penyanyi Farah Asyikin menjelaskan dia tidak mahu perkahwinan keduanya dengan Zaahier Stanley berakhir dengan perceraian biarpun masalah rumah tangga mereka kini telah pun dibawa ke mahkamah syariah.

Farah, 35, berkata, mereka berdua sedang berusaha memperbaiki masalah yang berlaku selain memikirkan masa depan anak lelaki mereka, Ebrahim Owais yang baharu sahaja berusia lapan bulan.

"Biarpun kes kami dibawa ke mahkamah tetapi kami masih suami-isteri yang sah dan apa yang boleh saya katakan kami masing-masing sedang berusaha memperbaiki keadaan.

"Apa yang saya minta doa daripada semua agar kami dapat mengharungi saat getir ini sekaligus menjernihkan keadaan kerana perceraian adalah jalan terakhir," katanya.

Nama Farah dan Zaahier dilihat berada di papan kenyataan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dekat sini berhubung permohonan perceraian mereka pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun Fara dan Zaahier tidak hadir ke mahkamah dan kes berkenaan ditangguh pada 21 Januari untuk sebutan semula.

Dalam pada itu, Farah berkata, biarpun sudah tidak tinggal sebumbung hampir tujuh bulan lalu namun hubungan mereka berdua masih baik dan sering berjumpa demi anak mereka.

"Buat masa sekarang saya tinggal bersama keluarga di Taman Tun Dr Ismail dan bersyukur mereka sentiasa memberi semangat kepada saya untuk mengharungi dugaan ini.

"Saya dan suami masih berhubung biarpun tidak tinggal sebumbung malah kami ada bertemu untuk bertanya khabar dan melawat Ebrahim," katanya.

Farah dan Zaaher iaitu warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari tahun lalu selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Farah Asyikin.

Artikel Lain