suria

Erul (AF9) Kurang Menonjol Kerana Kematian Bapa

Erul memberitahu dia kurang menonjol sebagai penyanyi pada tahun ini kerana menghormati kematian bapanya pada Ogos lalu. Foto Ihsan ERUL.

PETALING JAYA: Bekas peserta program Akademi Fantasia ke-9 (AF9) Erul memberitahu dia kurang menonjol sebagai penyanyi sepanjang tahun ini disebabkan menghormati pemergian bapanya, Allahyarham Datuk Abu Samah Yahya pada Ogos lalu.

Erul atau nama sebenarnya Khairul Najmuddin Abu Samah, 23, berkata, kesihatan bapanya mula merosot akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk lemah jantung dan masalah buah pinggang sejak awal tahun ini dan mengambil peluang untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama bapa kesayangannya itu.

"Dengan konsep muzik K-Pop rasanya tidak sesuai saya mengadakan persembahan selain mempamerkan wajah ceria sedangkan bapa saya sedang sakit sejak awal tahun ini. Ia masa yang sukar buat saya dan keluarga.

"Atas sebab itu saya memperlahankan karier seni kerana ingin menghormati pemergian arwah bapa malah saya kurang aktif sejak kesihatan bapa merosot pada awal tahun ini," katanya kepada mStar Online.

Erul semakin selesa bergelar pelakon.

Pada tahun lalu Erul meraih gelaran naib juara pertandingan K-pop Star Hunt musim kedua iaitu sebuah program pencarian bakat baharu dari seluruh Asia termasuk Jepun, Singapura dan Thailand.

Dalam pada itu, Erul berkata, biarpun dilihat tidak aktif namun sepanjang tempoh itu dia lebih banyak menghabiskan masa dengan mencipta lagu yang turut digunakan sebagai lagu tema dua buah drama berjudul Manusia Biasa dan Kusinero Cinta.

Malah kata Erul, dia juga mula melibatkan diri sebagai pelakon dan memberitahu setakat ini sudah berlakon dalam tujuh buah drama.

"Pun begitu nyanyian masih menjadi minat utama saya dan Insya-Allah akan kembali dengan buah tangan terbaharu pada tahun hadapan," jelasnya.

Antara drama yang pernah dijayakan oleh Erul adalah Hambok Untuk Anis, Anak Patung dan Man Rider.

Sementara itu, Erul berkata, dia kini sedang dalam proses menyiapkan single terbaharunya yang digubahnya sendiri dan akan mengekalkan elemen K-pop dalam karya terbaharunya itu.

Kata Erul, tahun 2015 akan menyaksikan kemunculan semulanya sebagai penyanyi dan berharap ia akan mendapat sambutan peminat.

Erul, AF9.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain