PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak tidak akan meletakkan harga tertentu untuk mana-mana produksi yang ingin mengambilnya berlakon sekiranya naskhah yang ditawarkan mampu memberikan kelainan dan impak kepada karier lakonannya. Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 32, berkata, dia tidak menganggap sikapnya itu merugikan kerana keuntungan sebenar adalah daripada pengalaman dan kepuasan yang bakal diperoleh. "Sekiranya diberi karya betul-betul kena dengan kehendak saya sebagai pelakon, soal harga bukan lagi menjadi keutamaan kerana paling penting saya dapat melakukan sesuatu yang belum pernah saya lakukan. "Adalah satu kerugian buat diri saya sebagai pelakon sekiranya meletakkan sesuatu harga untuk naskhah berkualiti kerana keuntungan sebenar adalah menerusi pengalaman dan kepuasan," katanya kepada mStar Online. Remy baharu sahaja muncul dengan teater berjudul Takhta 3 Ratu arahan Erma Fatimah menerusi watak sebagai Megat Panji Alam yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 13 hingga 22 Disember lalu. Dalam pada itu, Remy berkata, dia masih menanti tawaran yang benar-benar mencabar kredibilitinya sebagai pelakon biarpun menyedari peranan ditawarkan oleh produksi di negara ini agak terhad berbanding di luar negara. Bagaimanapun perkara itu terjadi kerana produksi tempatan masih berpegang teguh kepada adat dan budaya selain perlu menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini. "Sebenarnya banyak pelbagai naskah dengan watak berbeza-beza boleh ditampilkan namun kita masih menghormati dan berpegang teguh pada budaya. "Itu barangkali sebab kenapa penerbit dan pengarah menghadkan pilihan mereka kerana tidak mahu melangkau batasan seperti mana di negara asing," ujarnya. Pun begitu, Remy berkata, dia optimis dan yakin perkara itu tidak menjadi penghalang kepada pengkarya untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza dan menjadikan perkara itu suatu kekuatan dalam karya mereka.