suria

Butik Azza Elite Jadi Tempat Kumpul Barang Mangsa Banjir

Azza (Elite)
PETALING JAYA: Atas dasar prihatin terhadap mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur, pelakon dan penyanyi Azza (Elite) mengambil inisiatif menjadikan butiknya, Precious Al Jannah di Busana Mall, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dekat sini sebagai tempat pengumpulan barang yang disumbangkan orang ramai.

Azza berkata, idea tersebut tercetus apabila ramai peminatnya di Instagram bertanya dimanakah sumbangan perlu dihantar untuk bantuan itu..

Katanya, selepas berbincang dengan beberapa rakan artis yang turut berniaga di Busana Mall, mereka bercadang untuk terlibat dengan misi kemanusiaan di bawah kempen Sentuhan Hati Ke Hati dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM).

"Selain butik saya, pihak Busana Mall turut membantu memberikan satu lot ruang kedai di tingkat empat untuk penyimpanan barang-barang yang disumbang seperti pakaian, makanan kering dan selimut.

"Selain itu pihak kami turut menerima sumbangan wang kira-kira RM10,000 dalam tempoh masa dua hari sahaja.

"Alhamdulillah, semoga sumbangan yang diberi berterusan sehinggalah keadaan mangsa banjir kembali normal," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Ani Maiyuni turut membantu melipat pakaian sumbangan orang ramai di butik milik Azza.

Selain Azza, antara artis lain yang turut terlibat termasuklah pelakon Zul Yahya, Nina Fazurina, Noorkhiriah, Fazren, Ani Maiyuni, Bienda serta Kelly Azman.

Sementara itu, Azza berkata, setakat ini dia masih lagi memerlukan sumbangan seperti pelampung dan jaket keselamatan daripada orang ramai.

Malah Azza turut bersyukur sekiranya ada pihak yang sudi memberi kerjasama daripada segi bantuan penggunaan helikopter, lori dan bot bagi memudahkan penghantaran barangan yang telah disumbangkan itu.

"Untuk trip pertama, penghantaran akan dilakukan pada 29 Disember ini menerusi perkhidmatan lori. Dan kemudian penghantaran akan dilakukan berdasarkan sumbangan yang diberi. Selagi ada sumbangan, selagi itu kami tidak akan putus membuat penghantaran.

"Cuma saya harap ada pihak yang sudi bekerjasama dengan kami bagi memberi bantuan daripada segi pengangkutan," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan wang tunai bolehlah melakukannya melalui akauan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di nombor akaun: 2141-6500-0201-70 (RHB Bank).

Manakala bagi mereka yang ingin memberi bantuan barangan, ia boleh dihantar terus ke No 15, Tingkat 4, Marakesh, Busana Mall, Kompleks Menara Mara, 232 Jln Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Segala keterangan lanjut berhubung kempen berkenaan bolehlah menghubungi talian 012-2518801 (Tengku Khalidah), 018-7785456 (Azza) atau 012-2473105 (Kelly Azman).
Azza (Elite), Banjir, WHAM

Artikel Lain