suria

Edry Buat Keputusan Tepat Gantikan Aweera Dalam Mojo

Mojo berharap dengan kehadiran vokalis baharu iaitu Ryan Brakhma (dua dari kanan) dapat membawa kumpulan itu ke peringkat serantau. Foto Low Boon Tat.

KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim menjelaskan pemilihan Ryan Brakhma yang berasal dari Jakarta, Indonesia bagi menggantikan Aweera yang mahu bergerak secara solo merupakan satu keputusan tepat.

Edry, 39, berkata, selain vokal yang mantap, pihaknya yakin kehadiran Ryan dapat memberi nafas baharu dan membuka peluang kepada Mojo untuk melangkah ke persada seni serantau seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

"Dengan vokal Ryan yang universal, dinamik dan unik kami yakin dia mampu membawa Mojo ke peringkat seterusnya dan Mojo sendiri berhasrat untuk menjadi sebuah kumpulan serantau dan bukan sekadar di peringkat tempatan.

"Ini juga salah satu strategi kami untuk terus bertahan lama dalam arena muzik dan evolusi ini adalah langkah pertama Mojo," katanya kepada mStar Online.

Edry ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu mereka berjudul Dahsyat dan sesi memperkenalkan Ryan sebagai vokalis terbaharu Mojo di Hard Rock Cafe di sini pada Rabu.

Ryan yakin peminat dapat menerima kehadirannya sebagai vokalis terbaharu Mojo.

Selain Edry dan Ryan, kumpulan yang popular menerusi lagu Andai Aku Bercinta Lagi itu turut dianggotai oleh Akhadiat Denny dan Johar Lucas.

Dalam pada itu, menjelaskan pemilihan Ryan, Edry memberitahu gitaris kumpulan itu, Denny memperkenalkan Ryan kepadanya dan dia tertarik dengan vokal lelaki itu selepas mendengar demo rakaman yang diberikan.

Tambah Edry, sebelum dia memilih Ryan, pihaknya turut mengadakan uji bakat dengan bakat lain namun kebanyakan daripada mereka cuba meniru gaya Aweera.

"Denny memperkenalkan suara teman baiknya dari seberang melalui rakaman demo dan tertarik dengan kemantapan vokalnya yang cukup berbeza daripada Aweera.

"Tanpa berlengah saya belikan tiket kapal terbang dan minta Ryan datang ke Malaysia untuk mengadakan sesi uji bakat sebelum mengambil keputusan memilihnya," jelasnya.

Ryan dan Denny sebelum ini pernah terlibat dalam projek band di Jakarta sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Edry tertarik dengan keunikan vokal Ryan.

Sementara itu, Ryan ketika ditemui berkata, dia tidak bimbang sekiranya peminat akan membuat perbandingan diantara dirinya dan Aweera kerana menganggap ia perkara biasa dalam sesuatu perubahan.

Jelas Ryan, Aweera dan dirinya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan yakin peminat dapat menerima kemunculannya bersama Mojo.

"Menyertai Mojo dan dapat mengembangkan kerjaya di Malaysia adalah impian yang menjadi kenyataan kerana saya cemburu apabila melihat Denny berpeluang beraksi di negara ini selepas kumpulan kami dibubarkan.

"Biarpun sedar akan ada perbandingan dibuat namun saya optimis bahawa peminat dapat menerima kehadiran saya bersama Mojo," katanya.

Dalam perkembangan lain, majlis tersebut turut memperkenalkan bekas Pengurus Saluran Sinar FM, Mohd Rizal Mohd Shahimy sebagai Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) KRU Music yang baharu berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Mohd Rizal, 32, menggantikan Edry yang memangku jawatan tersebut sejak tiga bulan lalu dipilih berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam penyiaran radio selain memahami selok-belok industri muzik mengikut cita rasa pendengar.

Mojo, Edry Abdul Halim, Ryan Brakhma.

Artikel Lain