suria

Baki Zainal Kembangkan Bakat Sebagai Deejay Suria FM

Antara faktor Baki menerima tawaran sebagai penyampai radio Suria FM adalah kerana ingin keluar daripada zon selesa sebagai pengacara televisyen.

PETALING JAYA: Penyampai radio baharu Suria FM iaitu Baki Zainal memberitahu dia menerima tawaran untuk menggantikan Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi bermula 5 Januari lalu kerana ingin keluar daripada zon selesanya sebagai pengacara televisyen.

Baki atau nama sebenarnya, Zahamin Baki Zainal, 33, berkata, biarpun kurang berkeyakinan untuk menggalas tanggungjawab besar itu namun dia melihat ia sebagai satu peluang besar dalam mengembangkan kerjayanya.

"Jujur saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyampai radio dan pernah menolak beberapa tawaran sebelum ini dan kemunculan selama sebulan menggantikan Halim pada September lalu adalah pengalaman pertama.

"Saya yakin ini adalah peluang besar untuk saya keluar daripada zon selesa dan ingin membuktikan diri kepada individu yang mempercayai bakat saya," katanya kepada mStar Online.

Adibah Noor dan Baki bersiaran menerusi segmen Ceria Pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 5 hingga 10 pagi.

Baki sebelum ini pernah tampil dalam segmen sama pada September tahun lalu bagi menggantikan Halim Othman yang ketika itu mengikuti jelajah Kamilah Malaysia selama sebulan.

Adibah dan Baki bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 5 pagi hingga 10 pagi menerusi segmen Ceria Pagi.

Halim Othman kini telah beralih tumpuan untuk ke segmen sukan, Grandstand Suria pada setiap hujung minggu.

Dalam pada itu, Baki berkata, buat masa ini dia masih cuba menyesuaikan diri sebagai penyampai radio terutamanya waktu bekerja yang memerlukan dia bangun awal setiap hari.

Malah kata Baki, adakalanya dia berasa resah berada di dalam konti terlalu lama kerana masih belum membiasakan diri bekerja di dalam bangunan kerana budaya kerjanya sebelum ini kebanyakannya di luar.

"Sepanjang terlibat dalam bidang seni saya tidak pernah masuk ke pejabat untuk satu jangka masa tertentu dan bersama Suria FM adalah pengalaman baharu buat saya sehingga kadang-kala saya jadi resah kerana terperap dalam konti.

"Namun saya bertuah kerana dapat bergandingan dengan Adibah kerana kami sangat serasi dan dia banyak memberi dorongan kepada saya," katanya.

Baki juga memberitahu selain Ceria Pagi, dia juga mengendalikan segmen Kpop Suria yang bersiaran selama sejam pada setiap hari Ahad pada pukul 7 malam.

Sementara itu, Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, kombinasi diantara Adibah dan Baki sangat baik ditambah dengan pengalaman dan personaliti mereka bersesuaian dengan sasaran pendengar stesen radio itu yang berumur 25 hingga 39 tahun.

Selain penyampai radio terbaharu, Suria FM kata Adiwati memperkenalkan beberapa segmen baharu khusus buat pendengar mereka seperti Suria The Musical dan segmen Bunyi Gitar Suria.

"Suria The Musical mengajak pendengar untuk mencipta lagu mereka sendiri dan akan dikongsi bersama pendengar. Selain itu, ada juga segmen Bunyi Gitar Suria dimana ia akan menguji ketangkasan pendengar meneka lagu kegemaran mereka dengan hanya petikan gitar," katanya.

Baki Zainal, Suria FM.

Artikel Sebelum

Arja Lee Sudah Tiada Pengurus

Artikel Berikut

Artikel Lain