suria

Konsert Penghargaan Buat Johari Salleh Himpun Artis Terkenal

Konsert Maestro Datuk Johari Salleh bakal menemui penonton pada 7 Februari depan di TV2.

PETALING JAYA: Pengarah muzik dan komposer terkenal Datuk Johari Salleh tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk tampil dalam sebuah persembahan khas iaitu Konsert Maestro Datuk Johari Salleh.

Johari, 75, bakal menampilkan 12 buah lagu hasil ciptaannya yang telah mengangkat namanya dalam bidang muzik dengan penampilan khas artis seperti Nassier Wahab, Datin Alyah dan Johana Johari.

Rakaman konsert berkenaan telah pun dilakukan pada pertengahan Disember tahun lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Konsert diterbitkan Ashidah Abd Hamid, Unit Hiburan TV RTM ini bakal menemui penonton pada 7 Februari depan, pukul 9.00 malam di TV2.

Persembahan itu diadakan sebagai penghargaan kepada Johari atas sumbangan dan perkhidmatannya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai Pengarah Muzik kedua pada 1976 selepas tertubuhnya Orkestra RTM.

Antara artis yang terlibat dalam Konsert Maestro Datuk Johari Salleh.

Konsert itu dianjurkan oleh RTM bersama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dengan kerjasama Orkestra Kuala Lumpur (OKL-DBKL).

Lagu-lagu Berdebar Rasa Hati dan Papaku dipersembahkan oleh Johana sementara Alyah menyanyikan lagu Kau Yang Terindah dan Hati Lebur Jadi Debu.

Penyanyi Nassier Wahab pula mendendangkan Dunia Ku dan Gadis Kota serta berduet dengan Johana menerusi lagu Kata Sepakat.

Sebanyak tiga buah lagu lagi dipersembahkan secara instrumental dalam bentuk simfoni orkestra iaitu Overture Simfonietta Cempakasari, Ilusi Sekapur Sireh dan Tari Tualang Tiga.

Artikel Lain