KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyumbangkan hadiah sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-36 dengan memberikan wang yang dikumpul berjumlah RM310,000 kepada mangsa-mangsa banjir. Siti berkata, hadiah yang diterimanya pada tahun ini paling bermakna selepas individu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut membantu bagi tujuan tersebut. "Alhamdulillah beberapa individu tampil memberi hadiah kepada saya untuk disumbangkan dan jumlah keseluruhan kami berjaya kumpul ialah sebanyak RM310,000 untuk disalurkan kepada mangsa banjir. "Yayasan Nurjiwa milik saya dan suami turut menyumbangkan sebanyak RM50,000 untuk tujuan itu," katanya kepada mStar Online. Siti Nurhaliza memotong kek hari jadi. Siti ditemui pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 36 tahun di Hotel Ritz Carlton di sini pada malam Ahad. Siti lahir pada 11 Januari 1979. Cek berkenaan diterima oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi. Siti Nurhaliza berharap wang berkenaan dapat meringkan beban mangsa banjir untuk membeli keperluan harian dan membantu mereka membina semula kehidupan. Dalam pada itu, Siti berkata, sambutan hari jadinya pada tahun ini dibuat secara serdahana dan dianjurkan sendiri olehnya untuk memberi penghargaan kepada insan yang banyak menyokong kerjaya beliau selama ini. Ia termasuklah ingin meraikan komposer, penulis lirik dan semua yang terbabit dalam pembikinan album Fragmen sehingga ia dijulang sebagai Album Terbaik, Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21) pada Disember lalu. "Majlis pada malam ini bukan sahaja mengenai saya tetapi semua orang sekeliling yang sentiasa menyokong saya dan melihat mereka berada di sini cukup mengembirakan saya. "Doa daripada mereka dan peminat sentiasa menjadi kekuatan saya untuk terus berusaha memberikan yang terbaik," ujarnya. Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk K. Antara teman artis yang hadir pada malam itu adalah Norsaida, Fara Fauzana, Izara Aishah, Ummi Nazeera, Sharifah Shahira dan Tegar. Manakala penyanyi Indah Ruhaila, Faizal Tahir, Awi Rafael dan Azhael turut mengadakan persembahan khas untuk Siti. Pelawak dan pelakon Zizan Razak bertindak sebagai pengacara majlis. Sementara itu Siti mengakui berdebar dengan peningkatan usianya namun optimis untuk terus menjalani kehidupan dengan lebih sempurna pada masa hadapan. Untuk itu beliau lebih memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan kerap melakukan pemeriksaan perubatan di hospital. "Dengan usia semakin bertambah fokus saya kini adalah untuk lebih peka tentang kesihatan tambahan kaum wanita terdedah dengan pelbagai risiko penyakit seperti kanser payudara. "Selain itu, saya ingin memperbanyakkan ilmu agama selain menjadi seorang muslimah yang lebih baik," jelasnya. Dalam perkembangan lain, Siti berkata, pada tahun ini dia merancang untuk melancarkan beberapa buah single terbaharu termasuk lagu kerohanian, tradisional dan sebuah lagu berbahasa Inggeris.