suria

Menduda Tiga Tahun Jadi Bukti Kieran Bukan "Mata Keranjang"

Kieran sudah melepaskan jawatannya di Hot FM dan menyertai Sinar FM sebagai deejay sambilan.
PETALING JAYA: Penyampai radio Kieran memberitahu statusnya sebagai duda yang digalas selama tiga tahun menjadi bukti tiada pihak ketika menjadi punca perpisahannya dengan Yang Azliyang Mohd. Yunus pada 28 November 2012

Kieran atau nama sebenarnya Maskiran Jakiran, 40, berkata, sehingga kini dia masih tidak mempunyai wanita istimewa untuk dijadikan pasangan hidup.

"Saya belum ada siapa-siapa lagi yang istimewa sejak berpisah. Sudah tiga tahun saya hidup sebagai bapa tunggal dan ini menepis dakwaan orang sebelum ini bahawa ada orang ketiga punca perceraian saya dan isteri.

"Sewaktu berpisah itu ramai yang menjangkakan bahawa saya akan berkawin dengan wanita lain dalam masa terdekat, tetapi sangkaan mereka salah. Kami berpisah kerana tiada sefahaman dan bekas isteri saya pun masih belum mendirikan rumah tangga," katanya kepada mStar Online.

Hasil perkahwinannya dengan Yang Azlinyang pada Jun 2008, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Adam, 6, dan Muhammad Iman, 4.

Dalam pada itu, Kieran berkata, dia masih mempunyai hubungan baik dengan bekas isterinya terutama dalam hal berkaitan anak-anak mereka.

Dia juga mahu menumpukan perhatian kepada anak-anak yang kini sedang membesar.

"Saya tidak terfikir lagi untuk berkahwin kerana anak-anak saya sedang membesar dan memerlukan saya dan ibu dia walaupun kami sudah tidak bersama.

"Setiap Isnin kami sekeluarga akan berjumpa dan melakukan aktiviti, saya tidak mahu anak saya rasa kekurangan kasih sayang ayah dan ibu selepas kami berpisah," ujarnya.

Sementara itu, Kieran mengakui dengan status bapa tunggal tersebut, ramai wanita yang cuba untuk mendekatinya.

"Orang tahu saya single... sudah tentu ada yang datang nak berkawan tapi saya belum rasa ingin berkahwin lagi. Mungkin tunggu anak-anak saya besar sedikit," katanya yang kini merupakan deejay Sinar FM secara sambilan.

Artikel Lain