PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Sharifah Shahira atau Shira tetap aktif dengan aktiviti sehariannya walaupun doktor mengesahkan tulang (metatarsal bone) bahagian kaki kirinya patah akibat terjatuh basikal pada Disember lalu. Shira atau nama sebenarnya Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar, 40, bagaimanapun berkata, doktor tidak menjalankan sebarang pembedahan terhadap kecederaan tersebut sebaliknya tulang tersebut akan bercantum semula menerusi pergerakan. "Sakit itu memang sakit kerana ia membataskan pergerakan saya tetapi doktor beritahu dengan pergerakan tulang tersebut akan bercantum semula secara semulajadi dan ia tidak membimbangkan. "Saya hanya masuk hospital selama dua hari di KPJ Tawakal Kuala Lumpur sebelum menyambung semula aktiviti seni dan tugas di konti Ultra FM," katanya kepada mStar Online. Menceritakan mengenai kejadian tersebut, Shira berkata, dia pada awalnya tidak menyedari tulang bahagian kakinya itu patah dan menyangka ia terseliuh akibat daripada kejadian itu. Katanya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas tukang urut memberitahu tidak dapat mengurut kakinya kerana ia bukan terseliuh tetapi tulang tersebut patah dan memintanya untuk pergi ke hospital mendapatkan rawatan. "Saya tidak fikir ia serius biarpun sakit dan hanya berjumpa tukang urut kerana menyangka hanya terseliuh namun selepas mengetahui keadaan sebenar saya segera ke hospital," katanya. Dalam pada itu, Shira yang jarang dilihat muncul di televisyen berkata, dia kini banyak menumpukan perhatian kepada tugas di konti radio selain mengacara majlis-majlis tertutup. Tambahnya lagi, tumpuannya kini turut diberikan kepada restoran miliknya dan suami, Zulkifli Azhari atau Ijoy, 40, iaitu Enjoys Corner yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur. "Biarpun jarang dilihat di televisyen tetapi saya sebenarnya masih sibuk dengan pelbagai aktiviti terutama restoran milik kami. Hampir setiap malam kami akan berada di sana untuk meninjau keadaan," katanya. "Berlakon memang jarang sekarang tetapi banyak buat iklan televisyen dan mengacara majlis tertutup," katanya.