SUBANG JAYA: Pelakon Nur Fathia tidak bercadang untuk meneruskan kariernya sebagai peguam bertauliah biarpun telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada akhir tahun lalu. Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 27, berkata, buat masa ini dia ingin memberikan fokus kepada karier seninya dan belum menetapkan untuk mengikuti kursus dan latihan kelayakan (chambering) dengan firma guaman bagi membolehkan dia bergelar peguam. "Alhamdulillah saya telah pun menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang pada akhir tahun lalu namun tidak bercadang untuk meneruskan chambering buat masa ini. "Jika saya ingin bekerja dalam bidang itu pun berkemungkinan saya akan pilih menjadi peguam hartanah," katanya kepada mStar Online. Fathia ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta haruman terbaru Avon iaitu Only Delight Eau de Parfum di Hotel Grand Dorsett Subang di sini pada Khamis. Fathia wajah terbaharu Avon. Pelakon drama Ariana Rose itu turut menyanyikan single lagu pertamanya berjudul Tanpa Dirimu dihadapan kira-kira 1,000 stokis Avon dari seluruh negara. Dalam pada itu, Fathia berkata, kemunculan lagu tersebut untuk melihat penerimaan peminat terhadap percubaannya bergelar penyanyi dan berharap ia akan mendapat sambutan. Bagaimanapun kata Fathia, dia tidak berhasrat untuk bergiat secara serius dalam bidang itu dan hanya sekadar mencuba. "Dari dulu lagi saya memang minat hendak jadi penyanyi dan Tanpa Dirimu adalah bukti bahawa saya boleh menyanyi cuma belum bercadang untuk serius dalam bidang itu. "Bagaimanapun sekiranya mendapat sambutan baik daripada peminat dan pendengar mungkin saya akan pertimbangkan kembali tetapi buat masa ini ia hanya sekadar mencuba dan suka-suka," katanya. Fathia bakal muncul dengan single pertamanya berjudul Tanpa Dirimu. Dalam perkembangan lain, Fathia berkata, dia teruja apabila dipilih sebagai duta wangian produk terbaharu Avon iaitu Only Delight Eau de Parfum bagi keluaran 2015. Jelas Fathia, selain menggunakan medium laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk mempromosikan produk berkenaan dia juga merancang untuk tampil dengan program realiti sendiri sebagai salah satu medium memperkenalkan Avon kepada peminatnya. "Buat masa ini ia hanya perancangan tetapi saya melihat ia satu kaedah promosi selain dapat memaparkan kehidupan seharian saya sebagai selebriti. "Bagaimanapun ia bukan untuk siaran di televisyen sebaliknya merancang untuk dilancarkan menerusi YouTube," jelasnya. Sementara itu, Fathia berkata, dia akan kembali ke set penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia di TV3 dalam masa terdekat ini.