KUALA LUMPUR: Kemelut tiga anak antara penyanyi Awie dan isterinya Rozana Misbun memasuki episod baharu apabila wanita berkenaan akhirnya memperoleh hak jagaan sementara anak-anaknya secara sah. Perkara itu diputuskan oleh Hakim Syarie, Ibrahim Deris selepas membuat keputusan itu dalam kamar hakim di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa. Ibrahim dalam penghakimannya memutuskan tiga anak Rozana, 36, dan Awie, 46, iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, diserahkan kepada Rozana sebagai ibu sehingga perintah kekal hak jagaan anak dikeluarkan oleh mahkamah. Awie atau Ahmad Azhar Othman, selaku responden diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Mahkamah juga dalam penghakimannya turut memerintahkan pihak responden dilarang daripada mengambil atau mengacau anak-anak berkenaan di kediaman anak-anak tersebut tinggal atau di sekolah atau di mana-mana tempat melainkan sebagaimana yang dibenarkan oleh mahkamah. Responden juga tidak dibenarkan mengaibkan pemohon dengan apa-apa cara sama ada melalui media elektronik, media Internet dan media cetak atau apa-apa telekomunikasi sepanjang prosiding kes hadanah berjalan. Gambar kenangan saat bahagia Rozana, Awie dan anak-anak mereka. Sebelum ini Awie berjaya mendapatkan hak jagaan sementara secara ex-parte terhadap tiga anaknya itu. Bagaimanapun pada 14 Januari lalu, mahkamah yang sama membatalkan perintah berkenaan selepas mengambil kira pelbagai perkara termasuklah isu lain iaitu mengenai pertikaian dokumen nikah pasangan itu yang didapati palsu yang turut menjadi asas kepada mahkamah membuat keputusan berkenaan. Dokumen nikah tersebut telah disahkan palsu selepas ia didedahkan kepada mahkamah oleh Bekas Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Yusoff Abu Bakar. Terdahulu, kepada mStar Online pada 23 Januari lalu, Rozana mendedahkan dia gagal berjumpa anak-anaknya selepas mereka ‘disorok’ dan permintaannya untuk berbuat demikian tidak mendapat apa-apa respons positif Awie. Wanita itu juga mendakwa dua anaknya itu bagaikan keliru selepas tujuh bulan mereka terpisah selepas dia dilarang untuk bertemu mereka. Akhirnya Rozana terpaksa berjumpa dua anaknya iaitu Ahmad Merrah, Putra Ahmad Rezzki di sekolah tetapi tidak dapat mengesan lokasi sekolah seorang lagi anaknya iaitu Puteri Qasseh Antasha. Awie dan Rozana, 36, bernikah secara rahsia di Selatan Thailand pada 20 Jun 2005. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13.