PETALING JAYA: Pelakon baharu yang juga adik kepada aktor Johan As'ari iaitu Hazwan As'ari menjadikan kontroversi yang menimpa abangnya sepanjang bergelar artis sebagai panduan selepas dia memilih untuk terlibat dalam bidang serupa. Hazwan, 26, berkata, dia antara orang yang sentiasa berada di sisi abangnya setiap kali berhadapan dengan kontroversi. "Ketika Johan berhadapan dengan kontroversi dia selalu luahkan perasaan dan minta pendapat saya juga. Apa yang saya lihat ketika kontroversi dengan Lana Nodin memang membuatkan dia down. "Daripada situ saya dapat belajar banyak perkara dan kalau boleh yang baik saya jadikan contoh dan kontroversi buruk tu saya jadikan teladan agar tidak melakukan perkara yang sama," ujarnya kepada mStar Online. Hazwan ditemui selepas tayangan filem pertama lakonannya berjudul Puaka Balai Gombak yang diadakan di TGV One Utama, di sini, Rabu lalu. Dalam pada itu, bercerita tentang penglibatannya dalam dunia lakonan, Hazwan berkata dia mula menceburkan diri pada awalnya sebagai pelakon tambahan bersama Johan. Namun, hasrat meneruskan kerjaya lakonan tergendala selepas memilih untuk menyambung pengajian di Akedemi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Hazwan (kanan) bersama Farhaziq Ab Manaf (tengah) dan Shukri Tahir "Saya mula menceburi bidang lakonan bersama-sama Johan ketika itu untuk watak pelakon tambahan sahaja, kemudian pengarah Faisal Ishak mempelawak kami untuk ke uji bakat drama Juvana. "Ketika itu saya tidak dapat datang kerana terpaksa menyambung pengajian di Aswara dan Johan sahaja yang meneruskan impian itu," ujarnya. Dalam pada itu ibu dan bapanya tidak pernah menghalang dia untuk berada dalam industri seni biarpun terdedah dengan pelbagai kontroversi. Kata Hazwan, kakaknya, Farah Alia merupakan individu pertama yang membuka laluan kepada dia dan Johan untuk berada dalam industri. "Ibu bapa saya tidak pernah menghalang apa yang kami lakukan kerana kakak saya iaitu Farah Alia paling awal berlakon dan kini bekerja di sebuah stesen televisyen. "Selepas itu kami pulak mengikut jejak langkah dia untuk masuk dalam industri," katanya. Sementara itu, Hazwan berkata, jika tiada rezeki untuk bersaing sebagai pelakon, dia tetap berada dalam industri sebagai tenaga di belakang tabir. "Saya hanya cuba nasib sahaja untuk jadi pelakon dan kalau tiada rezeki saya akan terus berada sebagai orang dibelakang tabir," katanya. Dalam pada itu, bercerita tentang filem Puaka Balai Gombak, Hazwan berkata, lakonan yang dipaparkan dalam filem tersebut adalah secara spontan dan tidak mengikut skrip. Dia turut melalui pelbagai pengalaman seram sepanjang penggambaran yang dilakukan dibeberapa lokasi yang terkenal dihuni makhluk halus. "Ia pengalaman baru bagi saya dan tidak mengikut skrip yang telah disediakan kerana untuk menjadikan ia lebih kelihatan real. "Sepanjang penggambaran itu banyak gangguan yang terjadi, namun ia tidaklah terlalu serius," katanya. Filem tersebut juga dibintangi oleh dua pelakon baharu iaitu Farhaziq Ab Manaf dan Shukri Tahir. Filem Puaka Balai Gombak terbitan Showbiz ini berada di pawagam bermula 29 Januari 2015 lalu.