suria

Haiza Tinggalkan KL Untuk Kerjaya Baharu

Haiza menerima tawaran sebagai penyampai radio Best FM selepas mendapat keizinan suaminya. Foto AZLINA ABDULLAH.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Haiza yakin dapat memberikan komitmen terhadap tugas baharunya sebagai penyampai radio Best FM biarpun terpaksa meninggalkan Kuala Lumpur untuk menetap sementara waktu di Johor Bahru.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 35, berkata, dia nekad menerima tawaran tersebut selepas suaminya, Norhanapfe Omar mengizinkan selain pihak pengurusan stesen itu memberi beberapa kelonggaran kepadanya untuk membenarkan dia aktif sebagai penyanyi.

Alhamdulillah pihak Best FM memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyertai keluarga Best FM dan Insya-Allah saya melunaskan tanggungjawab itu dengan baik.

"Bukan mudah sebenarnya hendak buat keputusan ini kerana saya terpaksa meninggalkan suami di Kuala Lumpur untuk menetap di Johor kerana Best FM beroperasi di sana. Restu suami membuatkan saya bulatkan hati dan terima tawaran tersebut," katanya kepada mStar Online.


Haiza bergandingan dengan Zairi bagi mengendalikan segmen Best Pagi.


Haiza ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan penyampai radio Best FM yang diadakan di Flora Terrace di sini pada Rabu.

Penyanyi lagu Dag Dig Dug itu bakal ke udara bermula 16 Februari ini menerusi segmen Best Pagi bersama rakan setugas, Zairi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, 6 hingga 10 pagi.

Dalam pada itu, Haiza berkata, ketika ini dia tinggal di Johor Bahru ditemani ibu-bapanya selain turut membawa anaknya Nur Iman Syafie, 3, bersama.

"Buat masa ini setiap hari Jumaat selepas habis siaran saya akan pulang ke Kuala Lumpur dan pada hari Ahad akan pulang semula ke Johor dengan menaiki bas. Masa hujung minggu ketika tidak bersiaran saya gunakan untuk memenuhi undangan pertuinjukan pentas," katanya.

"Insya-Allah tempoh setahun berada di Johor tidak lama kerana pada tahun hadapan Best FM akan beroperasi di Kuala Lumpur. Suami juga tiada masalah dengan kerjaya saya kerana dia juga boleh datang berjumpa saya pada hujung minggu kalau saya tidak ke Kuala Lumpur," ujarnya.


Haiza memberitahu akan terus menyanyi walaupun sibuk dengan kerjaya di konti radio.

Sementara itu, Haiza berkata, walaupun mempunyai pengalaman sebagai penyampai radio di KL FM selama dua tahun, ia tidak pernah membuatkan dia berasa selesa dan mengakui tetap gementar untuk kembali ke udara.

Kata Haiza, buat masa ini dia sedang membuat pelbagai persiapan agar kemunculannya di konti kali pertama pada 16 Februari ini tidak mempunyai sebarang masalah.

"Sekarang ini saya banyak membiasakan diri dengan peralatan dalam konti selain berbincang dengan teman setugas tentang kandungan yang bakal disajikan kepada pendengar," katanya.

Haiza, Best FM.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain