suria

Aktor Indonesia Alex Komang Meninggal Dunia

JAKARTA: Seorang lagi pelakon yang menjayakan filem Laskar Pelangi meninggal dunia pada Jumaat.

Pelakon veteran, Alex Komang, menghembus nafas terakhirnya di Hospital Dr Kariadi di Semarang.

Seorang daripada anggota keluarganya berkata, Alex, 53, menderita sakit Hepatitis B. 

Pada Khamis, media melaporkan keadaan kesihatan Alex semakin merosot dan berita itu mula tersebar kepada selebriti lain di seluruh Indonesia.

Seorang daripada rakan seangkatan Alex, Dewi Irawan turut meminta orang ramai berdoa untuk pelakon berpengalaman itu.

Melalui Twitter, Dewi mencatat: "Mas Alex Komang, sedang kritis di RS Karyadi Smg, mhn do'anya cc mhn bantuan/perhatian Gub @ganjarpranowo." 

Dewi Irawan adalah pemenang aktres terbaik Festival Filem Indonesia 2015. 

Seorang daripada anak saudara Alex memberitahu, pelakon yang membawa watak bapa Lintang dalam filem Laskar Pelangi itu dipindahkan dari hospital di Jakarta ke Semarang untuk membolehkan dia berada berdekatan keluarganya. 

Sutradara dan produser Joko Anwar ketika menghebahkan kematian Alex melalui Twitter menulis: "Mas Alex Komang telah berpulang... Selamat jalan, Mas Alex. Kami sangat kehilangan dan akan merindukanmu...". 

Alex dilahirkan dengan nama Saifin Nuha diketahui menderita penyakit kanser hati. Sepanjang tempoh aktif berlakon, dia pernah membintangi pelbagai filem, termasuk bertaraf legenda seperti Doea Tanda Mata pada 1985, Secangkir Kopi Pahit (1985), Ibunda (1986), Laskar Pelangi (2008) dan yang terakhir Gunung Emas Almayer (2014). 

Alex juga pernah berlakon dalam filem epik terbitan Malaysia, Puteri Gunung Ledang dan Surat Kecil Untuk Tuhan.

Alex Komang, Laskar Pelangi

Artikel Lain