PETALING JAYA: Penyanyi Aman (AF2014) memberitahu menerima andai kerjayanya selepas ini lebih cenderung kepada bidang lakonan. Aman atau nama sebenarnya Muhammad Razman Abdul Aziz, 22, berkata, dia menyedari bakatnya dalam bidang lakonan selepas bergandingan dengan pelakon remaja popular Elfira Loy dalam drama Cinta Suci Jadi Saksi yang baharu ditayangkan pada Sabtu lalu. "Saya tidak pernah berlakon sebelum ini dan drama itu percubaan pertama saya, Alhamdulillah ramai yang beri respon yang baik. "Elfira banyak memberi tunjuk ajar untuk berlakon dengan baik dan pengarah Micheal Ang pun banyak beri galakkan pada saya," ujarnya kepada mStar Online. Aman ditemui pada festival Anugerah Meletop Era 2015 yang diadakan di Pacific Place, di sini, Ahad. Bercerita tentang pengalamannya berkakon, Aman berkata, lidahnya kelu ketika pertama kali diminta berdialog dihadapan Elfira. Bagaimanapun, katanya, sikap Elfira yang gila-gila membuatkan dia cepat selesa dan dapat mencari keserasian sebagai pasangan kekasih dalam telefilem tersebut. "Gugup pertama kali berhadapan dengan dia, sebelum ini saya hanya tengok lakonan dia di televisyen sahaja dan tidak terfikir akan bergandingan dengannya. "Nasib baik juga dia seorang yang cepat mesra dan mudah di buat kawan. Sehari sahaja kami sudah rapat dan berkongsi pendangan tentang watak masing-masing," ujarnya. Sementara itu, Aman berkata, dia baharu sahaja menjalani uji bakat untuk drama Oh My English! selain mempromosi lagu single pertamanya berjudul Without You.