suria

Hikmah Kes Dadah, Ezad Lazim Bakal Berangkat Ke Mekah

Pasangan suami isteri ini bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 21 Februari ini untuk melakukan Umrah.

PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Exists iaitu Ezad Lazim bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah bersama isterinya, Nor Azeana Ramli pada 21 Februari ini selama dua minggu.

Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, sepanjang tempoh itu dia ingin memanfaatkan pemergiannya ke sana dengan memperbanyakkan amal ibadat serta memohon keampunan terhadap kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Banyak hikmah yang saya dapat selepas kejadian ditangkap ekoran dadah sebelum ini dan syukur masih belum terlambat untuk saya berubah.

"Alhamdulillah kami suami isteri berpeluang untuk melakukan Umrah dan berharap dapat menggunakan masa di sana dengan sebaik-baiknya," katanya kepada mStar Online.

Terdahulu Mahkamah Majestret Selayang mengenakan denda sebanyak RM3,500 dan pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas penyanyi itu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu.

Isteri Ezad, Nor Azeana setia menemani suaminya sepanjang kes berlangsung di mahkamah.

Dalam pada itu, Ezad berkata, dia bertekad untuk berubah menjadi insan lebih sempurna dengan mendekatkan diri kepada Allah selain tidak mengulangi kesilapan dilakukan sebelum ini.

Malah kata Ezad, dia bertuah kerana sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga, sahabat dan isterinya banyak menguatkan semangatnya untuk terus fokus kepada masa hadapannya.

"Isteri adalah insan yang sentiasa berada disisi saya tidak kira pada keadaan sukar atau pun senang dan dialah orang yang banyak menguatkan semangat saya agar melupakan kesalahan lalu dan dekat kepada agama.

"Alhamdulillah kes berkenaan benar-benar telah membuka mata saya dan saya simpan sebagai salah satu lipatan sejarah hidup saya," katanya.

Tambah Ezad, dia kini komited menjalani pemulihan di sebuah klinik kesihatan selain turut mendapatkan perubatan Islam untuk memulihkan semangatnya.

Dalam perkembangan lain, Ezad mengakui kerjaya seninya sedikit terjejas akibat kes berkenaan namun tidak menyalahkan mana-mana pihak dan melihat situasi itu sebagai pengajaran buatnya. 

"Mungkin itu adalah balasan atas perbuatan sendiri namun saya bersyukur kerana masih ada juga undangan nyanyian biarpun tidak sehebat sebelum kejadian itu.

"saya akur dan berjanji akan bangkit semula untuk kembali mendapatkan kepercayaan semua pihak," tuturnya.

Ezad Lazim.

Artikel Lain