GEORGE TOWN: Datin Susan Lovie Boudville, isteri kepada mendiang penyanyi Alleycats, Datuk Loganathan Arumugam, sedang bertarung nyawa untuk hidup akibat menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD). Susan, 58, sedang koma di Hospital Pulau Pinang selepas pengsan pada 14 Februari lalu. Beliau disahkan menghidap COPD, sejenis penyakit saluran pernafasan tersekat akibat bengkak atau parut, kira-kira empat tahun lalu. Menurut anak perempuannya, Dasha Logan, 26, ibunya telah dikejarkan ke hospital selepas pengsan pada malam 14 Februari. "Dia sedang mandi dan pengsan apabila keluar dari bilik mandi. Abang dan rakan ibu saya berada di rumah ketika kejadian, " katanya, Rabu. Beliau menambah, saudara mara ibunya telah datang dari Sabah dan Australia selepas dimaklumkan mengenai perkara itu. Kawan rapat Susan, Mary Carlos-Westwood, 55, berkata dia berasa amat sedih. "Dia merupakan seorang wanita penyayang dan baik hati yang tidak teragak-agak untuk membantu orang yang memerlukan," katanya, sambil memberitahu mula rapat dengan Susan pada tahun 1999. Katanya, Susan telah tinggal dengannya di pangsapuri Permai Ria di Tanjung Bungah sejak September 2012 selepas rumah Susan di Jalan Azyze terbakar. "Dia tinggal dengan kami sehingga 31 Januari apabila anaknya membawanya berpindah ke apartmen Mar Vista," tambahnya. Susan bertemu Loganathan ketika dia bekerja di Kuala Lumpur. Loganathan, atau lebih dikenali sebagai Loga, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 2007 selepas beberapa bulan bertarung dengan penyakit tersebut. Bersama-sama dengannya adalah Datuk David Arumugam, di mana mereka membentuk kumpulan adik-beradik Alleycats pada tahun 1969 dan menghiburkan peminat di seluruh rantau ini selama 30 tahun.