suria

'Saya Tak Tahu Anak Hartawan Mana' - Uqasha Senrose

Uqasha Senrose.

PETALING JAYA: Pelakon Uqasha Senrose menyifatkan gosip kononnya dia kini sedang diintai oleh seorang anak hartawan sebagai cerita rekaan dan tidak mempunyai asas kukuh.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 23, berkata, dia sendiri tidak pasti siapakah individu dimaksudkan sedang mendekati dirinya dan hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas membacanya di akhbar.

"Saya langsung tidak mengetahui mengenai perkara itu dan pada saya gosip berkenaan adalah mengarut dan tidak mempunyai asas.

"Malah saya sendiri tidak mengetahui anak hartawan mana yang dimaksudkan," katanya kepada mStar Online, Ahad.

Uqasha mengulas mengenai laporan dalam sebuah akhbar mingguan pada Ahad yang mendakwa dia sedang diintai oleh anak hartawan dan mereka dikhabarkan pernah keluar bersama.

Lelaki berkenaan dikatakan adalah tunang kepada seorang pelakon baharu dan pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita lain sebelum ini.

Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia berasa pelik kerana sering dijadikan sasaran gosip biarpun perkara berkenaan tidak benar dan berharap dia tidak lagi dikaitkan dengan cerita seumpama itu pada masa hadapan.

"Sudah-sudahlah buat cerita tidak benar mengenai saya. Saya sendiri pun tidak faham," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai hubungannya dengan pelakon Syafiq Kyle, Uqasha menjelaskan dia tidak pernah menyorokkan status sebenar hubungan mereka kerana mereka masih lagi dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

Malah kata Uqasha, dakwaan kononnya hubungan mereka tidak direstui oleh ibu Syafiq menjadi penyebab dia berdolak-dalih mengenai percintaannya dengan lelaki itu juga tidak benar.

"Hubungan saya dengan ibu Syafiq okey sahaja tidak seperti mana dilaporkan.

"Tentang saya dan Syafiq, kami masih baik. Kami berkawan dan masing-masing sedang mengenali hati budi," jelasnya ringkas.

Uqasha Senrose, Syafiq Kyle.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain