PETALING JAYA: Penyanyi dan pakar motivasi, Datuk Fazley Yaacob memberitahu ramai remaja dan peminat bukan berbangsa Melayu tidak mengenalinya sebagai seorang penyanyi gara-gara penonjolan bakatnya lebih kepada bidang masakan sejak kebelakangan ini. Fazley yang merangkul gelaran juara MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012 mengakui, kebanyakkan mereka akan berkata wajahnya seiras dengan penyanyi yang pernah digelar 'abang asmara' sedangkan individu yang dimaksudkan itu merupakan orang yang sama. "Kelakar bila ramai yang datang kepada saya dan memberitahu bahawa wajah saya sama seperti seorang penyanyi. Hal itu bukan sahaja terjadi kepada peminat berbangsa lain selain orang Melayu sebaliknya ada juga remaja dari Malaysia sendiri. "Ada beberapa orang yang datang mendekati saya memberitahu saya seperti seorang penyanyi yang pernah digelar 'abang asmara'," ujarnya kepada mStar Online. Selain itu, menurut Fazley, ada beberapa peminat atau penonton program masakannya yang memuji bahawa dia seorang cef yang pandai menyanyi. Fatanya, perkara itu dilalui selepas mengadakan persembahan nyanyian dalam sesebuah acara demonstrasi tentang masakan. "Selalunya kalau ada majlis masakan atau dipanggil untuk melakukan demontrasi, saya akan membuat persembahan nyanyian pada penghujung majlis. "Selepas itu ramai penonton yang datang menghampiri saya dan memuji bahawa saya seorang cef yang pandai menyanyi, yang mana hakikatnya saya memang bermula sebagai seorang penyanyi," ujarnya. Oleh disebabkan itu, Fazley berkata, dia merancang untuk kembali menyanyi bagi merungkai kekeliruan tersebut. Dia kini dalam perancangan untuk keluar dengan album kelima selepas empat tahun menyepi dari bidang nyanyian. "Saya dalam perancangan untuk keluar dengan album terbaharu pada Mei ini yang mana akan memuatkan lapan buah lagu. Single seterusnya juga akan dilancarkan dan ia adalah berkonsep balada dengan tajuk berkaitan dengan asmara seperti lagu-lagu sebelum ini," ujarnya.