suria

Joe Flizzow Dapat Banyak Tawaran Selepas Menang AJL 29

Joe Flizzow
KUALA LUMPUR: Penyanyi rap Joe Flizzow menerima banyak tawaran daripada artis yang ingin mendapatkan lagu ciptaannya selepas dia menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL 29) menerusi lagu Apa Khabar  pada 18 Januari lalu.

Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 37, berkata, kepercayaan diberikan itu adalah peluang terbesar kepadanya untuk lebih banyak bekerjasama dengan artis lain pada masa hadapan.

"Bukan hendak riak tetapi saya sendiri terkejut apabila ramai penyanyi dan wakil syarikat rakaman yang mahu saya mencipta lagu untuk artis mereka selepas menjuarai AJL 29.

"Bukan sahaja penyanyi rap dan pop malah ada artis nasyid dan dangdut yang mahu menggunakan khidmat saya dan ini peluang untuk saya bekerjasama dengan lebih ramai bakat besar yang ada di Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Joe ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharunya dan muzik video berjudul Baek di pejabat Sony Music di sini, Rabu.

Bagaimanapun kata Joe, dia tidak segera bersetuju kerana sedar ia tanggungjawab besar dan memerlukan komitmen tinggi.

"Saya bukan menolak tetapi belum memberi jawapan kepada kesemua permintaan dan ingin memberikan yang terbaik kepada mereka," jelasnya.


Dalam pada itu, Joe turut mengakui, semenjak memenangi AJL 29, harapan peminat terhadapnya semakin meningkat dalam menghasilkan karya bermutu seperti Apa Khabar.

Bagaimanapun kata Joe, dia tidak berasa tertekan untuk mengulangi kejayaan serupa kerana sedar ia tidak akan terjadi sekiranya dia melakukan proses mencipta lagu dengan niat sedemikian.

"Positifnya adalah saya menjadi lebih bersemangat untuk menghasilkan lebih banyak karya yang puitis dan bermutu.

"Cuma saya tidak boleh masuk ke studio dengan niat untuk menang AJL atau mahu diiktiraf kerana ia tidak akan berhasil pada akhirnya.

"Sebaliknya proses tersebut perlu berlaku secara organik dan bukannya secara paksaan," ujarnya.

Sementara itu, bercakap mengenai lagu Baek, Joe memberitahu dia memilih lagu berkenaan sebagai single terbaharunya kerana ingin meneruskan kesinambungan terhadap penerimaan baik peminat terhadap album Havoc.

Jelas Joe, lagu berkenaan lebih santai dan berbeza seperti mana single keduanya Apa Khabar.

"Liriknya lebih kepada bahasa pasar yang sering kita gunakan sebagai rakyat Malaysia dengan muzik rancak dan lebih ringan.

"Malah muzik videnya dirakamkan di New York pada tahun lalu dengan penampilan istimewa daripada artis-artis tempatan seperti SonaOne, Sharifah Amani, Nabila Huda dan ramai lagi," jelasnya.
Joe Flizzow

Artikel Lain