PETALING JAYA: Isteri Awie iaitu Rozana Misbun, menempelak suaminya sambil menyifatkan penyanyi rock itu mahu mencari publisiti murah dengan membangkitkan pula isu yang tidak relevan iaitu soal melarikan anak. Rozana, 36, dalam satu mesej panjang lebar kepada mStar Online pada Jumaat berkata, dua anak yang dikatakan itu, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, berada dalam keadaan sihat, selamat dan bahagia bersamanya. “Saya tiada sebarang motif lain selainkan ingin bersama anak-anak sebaliknya saya menjalankan tanggungjawab saya sebagai ibu kandung untuk membesarkan mereka yang masih kecil dengan penuh kasih sayang dan perhatian,” katanya. Rozana berkata demikian sebagai respons kepada tuduhan Awie seperti dilaporkan media pada Jumaat kononnya dia telah melarikan dua anaknya itu di sekolah tanpa memaklumkan kepada penyanyi itu terlebih dahulu. Seorang lagi anak hasil perkahwinan Rozana dan Awie iaitu Putra Ahmad Merrah, 8, masih berada bersama penyanyi tersebut. Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberikan hak penjagaan sementara kepada Rozana tiga orang anaknya itu sehingga perintah kekal di keluarkan. Dengan perintah itu, Awie atau Ahmad Azhar Othman, 47, selaku responden hanya diberikan hak melawat di kediaman anak-anak tersebut selama dua jam sebanyak dua kali sebulan iaitu pada hari Sabtu dan Ahad pada minggu pertama dan ketiga dengan memaklumkan kepada Rozana. Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 15, dan Puteri Aleefa Antasha, 13. Ikuti komen Rozana berhubung tuduhan terbaharu Awie terhadapnya. Gambar terbaharu yang dikirimkan Rozana menyaksikan kemanjaan anaknya, Putri Qasseh Antasha. Apa yang boleh Rozana katakan terhadap tuduhan Awie kononnya Rozana melarikan anak-anak? Istilah 'larikan anak' tu macam tak kena sebab Putra Ahmad Rezzki dan Putri Qasseh Antasha adalah anak kandung saya. Saya tak larikan anak orang lain tapi anak daripada darah daging saya sendiri! Lagipun perintah makhamah bertarikh 27 Januari 2015 secara sah dan nyata telah memberi hak penjagaan anak-anak kepada saya sehingga hak penjagaan kekal diputuskan kelak. Awie berkata, kenapa Rozana tidak maklumkan kepadanya untuk mengambil anak-anak? Nak maklumkan macam mana lagi sebab setiap kali saya beritahunya untuk ambil anak pada sekian-sekian masa di rumahnya di Ukay Bistari (Ampang, Selangor) secepat kilat anak-anak saya disembunyikan dan dilarikan ke tempat lain. Baru-baru ini dia bawa anak-anak sembunyi di rumah kakaknya di Rawang. Cubaan saya untuk berjumpa anak-anak walaupun saya diberikan hak telah dibuat secara berhemah beberapa kali. Disebabkan ikhtiar saya itu terus-menerus gagal, maknanya saya terpaksa membuat keputusan untuk mengambil anak-anak di sekolah. Awie mendakwa terdapat anggota polis bersenjata ke sekolah ketika Rozana mahu ‘melarikan’ anak-anak? Saya harap Awie berhentilah berhalusinasi dan tahu membezakan antara fantasi dan realiti. Soal polis berpakaian preman, bersenjata semua tu, ia tidak wujud sama sekali. Apakah motif Awie menuduh sedemikian? Saya faham Awie perlukan publisiti bagi melariskan konsertnya. Tapi tolonglah jangan heret saya dan anak-anak dalam kancah itu. Saya tak perlukan publisiti murahan macam ini untuk meraih perhatian sebab saya hanyalah seorang ibu yang hanya memperjuangkan hak untuk anak-anak yang cuba dinafikan oleh Awie. Awie Ada dakwaan, Rozana halang Awie berjumpa anak-anak? Siapa kata saya tak bagi Awie jenguk anak-anak? Dia boleh saja berbuat demikian pada waktu dan tempoh masa seperti yang tertera dalam perintah mahkamah. Kalau dia nak menghubungi saya menerusi telefon untuk berbual dengan Rezzki dan Qasseh pun, tak jadi masalah. Saya akan benarkan. Adakah Rozana mahu uruskan pertukaran sekolah anak-anak? Apabila mahkamah syariah memutuskan bahawa sijil nikah kami palsu, maka secara automatik, sijil kelahiran atau surat beranak anak-anak menjadi tidak sah dari sudut undang-undang kerana sijil nikah itulah yang tertera pada sijil kelahiran anak-anak. Urusan pertukaran sekolah memang saya sedang usahakan namun ia tertangguh kerana melibatkan banyak pihak termasuklah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara). Bagi saya tak perlulah hantar anak ke sekolah swasta yang mahal yurannya. Tun Mahathir dulu pun bersekolah di sekolah kerajaan saja tapi tengoklah kejayaannya sebagai pemimpin dikagumi dunia. Bagaimana hubungan anak-anak sejak bersama Rozana? Anak-anak sekarang dengan saya dah macam kembar siam. Tak boleh berenggang langsung. Qasseh siap bagi isyarat pada saya, bila dia bangun dari tidur, celik mata setiap pagi, dia mahu saya ada di sisi dia. Kalau tidak dia akan menangis dan merajuk sepanjang hari.