suria

6ixth Sense Terbit Album Sendiri Kerana Tidak Mahu Karya Terbatas

6ixth Sense ingin mencuba pelbagai genre dalam industri muzik.

KUALA LUMPUR: Kumpulan 6ixth Sense mengambil keputusan untuk bergerak sendiri tanpa pengurusan mana-mana syarikat rakaman adalah kerana tidak mahu karya mereka terbatas.

Vokalisnya, Adi Priyo Sambodo, berkata, mereka ingin mencuba pelbagai genre dalam industri dan tidak mahu hanya tertumpu kepada genre yang ditetapkan syarikat rakaman.

"Kami tamat kontrak dengan syarikat rakaman pada penghujung 2013 dan memilih untuk bergerak secara sendiri kerana lebih bebas untuk berkarya.

"Kalau dengan syarikat rakaman terlalu banyak peraturan dan kami terpaksa ikut apa yang mereka tentukan," ujarnya kepada mStar Online.

6ixth Sense ditemui pada sidang media pelancaran album kompilasi 6ixth Sense Sense Of Love  yang diadakan di Hard Rock Cafe, di sini, pada Selasa.

Tambah Adi, melalui pengalaman menerbitkan beberapa lagu hit sebelum ini membuatkan mereka yakin untuk berada secara serius dalam bisnes muzik ini.

"Perkara ini kami sudah fikir tiga tahun lepas selepas menerbitkan beberapa lagu yang berjaya hit dan mendapat pulangan yang baik, kami terfikir untuk bergerak sendiri sahaja.

"Insya-Allah sekarang kita melabur dahulu dan nanti kita dapat hasilnya semula lebih banyak daripada sebelum ini," ujarnya.

Adi sebelum ini, pernah menerbitkan lagu berjudul Kisah Hati nyanyian Alyah, Risalah Hati ( Ella dan Anji), Relakan Jiwa (Hazama) dan Muara Hati nyanyian Siti Nurhaliza dan Hafiz Suip.

Selain Adi, 6ixth Sense turut dianggotai oleh Gjie, Wan, Ayoy dan Athan.

Sementara itu, Adi berkata, mereka baharu sahaja muncul dengan lagu genre dangdut berjudul 7 Kali Malam Minggu yang turut diselitkan dalam album tersebut.

"Kami cuba lagu baru dengan genre dangdut iaitu 7 Kali Malam Minggu yang mana kami ingin cuba sejak dahulu lagi tetapi tidak dibenar oleh pihak syarikat rakaman.

"Kami rasa lagu ini akan mengembalikan semula zaman kegemilangan irama dangdut di negara ini," ujarnya.

Adi berkata, dalam album kompilasi tersebut mereka turut menyelitkan lagu daripada tiga artis baharu yang bernaung di bawah syarikat 6ixth Sense Production iaitu Sakura Band, Cherpen Band, dan Zara Ali.

6ixth Sense

Artikel Lain