suria

Kumpulan Radio Star Dedikasi Puisi Kenang Tragedi MH370

Kudsia Kahar
PETALING JAYA: Empat stesen radio di bawah Kumpulan Radio Star iaitu Suria FM, Red FM, 988 dan Capital FM memilih 6 Mac ini iaitu Jumaat sebagai hari mengenang mangsa yang terlibat dalam misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Radio Star, Kudsia Kahar, berkata, ia adalah sebagai satu sokongan yang dilakukan oleh Star Radio Group sebagai tanda memperingati tragedi MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

“Kami ingin menyatakan sokongan kami kepada mereka yang terlibat dengan tragedi MH370. Walaupun setahun telah berlalu namun ingatan dan doa kami tidak pernah pudar.

"Selain keudara, kami juga akan berkongsi mesej daripada pendengar kami di laman sosial Twitter dengan menggunakan #RememberingMH370" ujarnya kepada mStar Online, pada Khamis.

Stesen Suria FM juga akan membacakan puisi dan mendeklamasikan sajak yang dihantar oleh para pendengar di Suria FM bermula pukul 6 pagi, Jumaat.

Sehubungan itu, Kudsia berkata, beberapa selebriti terkenal turut terlibat dalam membaca sajak yang dikirimkan oleh pendengar.

"Selain dibaca oleh penyampai Suria FM, beberapa selebriti turut menyumbangkan suara mereka bagi membaca puisi dan sajak dari pendengar antaranya Hafiz Suip, Edry Abdul Halim, Taufik Batisah, Bunga Citra Lestari dan ramai lagi,"katanya.

Sementara itu, stesen radio berbahasa Inggeris Red FM dan Capital FM pula akan menyiarkan mesej dan pesanan daripada para pendengar berkaitan MH370.

Selain itu, pendengar juga boleh memdengarkan temubual ahli keluarga mereka yang terlibat dengan MH370 yang akan dikendalikan oleh kumpulan berita Star Radio Group.

Bagi stesen 988 pula, mereka akan berkongsi pelbagai laporan terkini berkaitan dengan MH370 dan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh kerajaan sepanjang mengendalikan kes tersebut.
Suria Fm, Red Fm, 988, Capital Fm, MH370

Artikel Lain