PETALING JAYA: Penyanyi Ila Damiaa tidak berasa dipinggirkan oleh bekas mentornya dalam rancangan Mentor 4 iaitu Joe Flizzow yang dikatakan lebih memberi tumpuan kepada kerjaya pendatang baharu, SonaOne.
Ila Damiaa atau nama sebenarnya Ila Damiaa Johar, 26 berkata, kejayaan yang dikecapi SonaOne adalah usahanya selama empat tahun berada dalam industri seni tanah air.
"Saya tidak rasa dipinggirkan atau berkecil hati dengan kejayaan SonaOne kerana kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil titik peluhnya sejak beberapa tahun lalu.
"Saya tidak mahu berperasaan negatif seperti itu kerana kami semua adalah satu keluarga dan bagi saya itu sudah rezeki dia, malah kejayaannya menjadi sumber inspirasi kepada saya juga," katanya kepada mStar Online.
Ila berkata, sejak menceburi bidang seni pada tahun 2010, dia melihat kebanyakkan artis yang berjaya adalah hasil usaha beberapa tahun lalu.
Katanya, sesebuah kejayaan itu bukan senang seperti yang dianggap oleh masyarakat.
"Kalau dah pandai buat lagu sendiri mungkin ia lebih senang kerana saya tidak perlu mengharapkan masa komposer lain untuk buat lagu saya," ujarnya.