suria

Keluarga Terkilan, Minta Henti Sebar Gambar Allahyarham Harun Salim Bachik

Danial (kiri) dan Syafik sifatkan Allahyarham bapa yang bertanggungjawab.

KUALA LUMPUR: Keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik terkilan dengan penyebaran gambar arwah ketika menghembuskan nafas terakhir dan menjelaskan ia tidak seperti diperkatakan di laman-laman sosial pada petang Ahad lalu.

Anak keduanya, Danial Al-Rashid, 29, berkata, arwah meninggal dunia secara tenang dipangkuan salah seorang adiknya selepas mengalami sesak nafas secara tiba-tiba.

"Arwah tidak jatuh seperti yang tersebar di Facebook, dia sesak nafas dan berpaut pada tiang hingga adik saya memapah dan memangkunya pada saat-saat dia menghembuskan nafas terakhir.

"Selepas saya dapat berita tentang itu dan lihat sudah tersebar gambar-gambar arwah serta cerita yang salah. Saya harap orang ramai tidak menyebarkan lagi gambar tersebut," ujarnya kepada mStar Online selepas selesai pengebumian jenazah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Al Raudhah, Batu Muda, Batu Caves, dekat sini, kira-kira pukul 11 pagi Isnin selepas disembahyangkan di Surau Al Mutmainnah Jalan Pandan Perdana 8/1.

Dalam pada itu, Danial mengakui, salah satu sebab kesihatan arwah terjejas adalah kerana terlalu kuat bekerja.

Katanya, penyakit asma yang dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat lebih parah selepas menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 bersama kumpulan Boboy.

"Antara punca kesihatan dia semakin teruk kerana terlalu kuat bekerja, kami ada paksa dia agar berehat dan dia memberitahu tahun ini akan memperlahankan aktiviti seni.

"Keadaan penyakit asma mula serius lepas menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 lalu dan selepas itu dia sering mendapatkan rawatan di hospital," ujarnya.

Sementara itu, Danial menyifatkan arwah sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab dan serius apabila bersama keluarga.

Biarpun tidak meninggalkan sebarang pesanan, Danial berkata, tanggungjawab terhadap keluarga kini perlu dipikulnya bersama adik beradik lain.

"Dia kelakar di televisyen sahaja dan kalau di rumah dia seorang yang serius. Dia tidak meninggalkan apa-apa pesanan kepada kami adik beradik, namun secara automatiknya tanggungjawab itu jatuh kepada kami semua," ujarnya.

Sementara itu anak sulungnya, Syafik Al-Rashid, 30, memberitahu telah meminta pihak hospital tidak melakukan sebarang bedah siasat terhadap arwah kerana mengetahui punca kematian tersebut disebabkan penyakit asma yang kritikal.

Katanya, Allahyarham sudah beberapa kali ke hospital untuk menjalani rawatan bagi mengawal penyakit asma itu.

"Kami berpakat adik-beradik tidak mahu arwah ayah menjalani bedah siasat kerana memang mengetahui arwah ayah menghidap penyakit asma.

"Sebelum ini juga, arwah sudah beberapa kali ke hospital untuk dapatkan rawatan," ujarnya.

Allahyarham Harun Salim Bachik menghembuskan nafas terakhir selepas rebah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak, petang Ahad.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan Pejabat Kesihatan Gunung Semanggol, jam 4.20 petang Ahad. Beliau sebelum ini memang diketahui mengidap asma.

Allahyarham dibawa ke Hospital Parit Buntar, Perak sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Pandan Perdana.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Surianti Mohd Nor, enam orang anak dan tiga orang cucu.

Harun Salim Bachik

Artikel Lain