AMPANG: Isteri kepada penyanyi Awie iaitu Rozana Misbun tidak dapat memberikan keterangan berhubung dakwaan dicederakan suaminya itu pada 2 Jun tahun lalu selepas kes berkenaan ditangguhkan. Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan perbicaraan hari keempat kes berkenaan ditangguhkan pada khamis (esok). Rozana, 36, terdahulu dilihat hadir ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi ditemani beberapa ahli keluarga dan teman rapat sebelum pulang kira-kira pukul 3 petang. Dalam perbicaraan masuk hari ketiga, mahkamah telah memanggil Sarjan Pentadbiran Seksyen Audio dan Video, Makmal Forensik PDRM, Nasir Mohamad untuk memberikan keterangan berhubung barang bukti kes berkenaan. Nasir memberi keterangan itu dihadapan Ayuni manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene. Mengikut pertuduhan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Rozana pada 2 Jun tahun lalu kira-kira pukul 1.30 petang di alamat No. 9 Jalan UB 5B, Taman Ukay Bestari, Ukay Perdana Hulu Kelang di sini. Awie dan Rozana dilaporkan berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand pada 2005.