suria

Wan Raja Sedia Fokus Dunia Lakonan Selepas Kahwin

Wan Raja
PETALING JAYA: Pelakon Wan Raja sudah bersedia memberi tumpuan terhadap dunia seninya selepas memperlahankan kerjaya berkenaan kerana berumah tangga pada Disember lalu.

Wan Raja atau nama sebenarnya Saiful Redzuan Abu Bakar, 38, berkata, dia rindu untuk kembali ke dunia lakonan terutamanya dalam bidang pementasan teater selepas tiga bulan meninggalkan bidang berkenaan.

"Selepas berkahwin saya memperlahankan karier seni kerana ingin memberi fokus kepada kehidupan berumah tangga.

"Saya kini mula berasa rindu terhadap bidang lakonan terutamanya teater dan sudah bersedia kembali aktif," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Wan Raja dan Yaya bernikah pada 12 Disember 2014.

Terdahulu Wan Raja dan Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah, 39, selamat bernikah di Masjid Al-Redhuan Hulu Klang pada 12 Disember tahun lalu dengan sekali lafaz.

Yaya adalah kakak kepada pelakon Emma Maembong, Shikin Maembong dan Chacha Maembong.

Dalam pada itu, Wan Raja berkata dia kini masih dalam proses menyesuaikan diri sebagai seorang suami namun menyedari tanggungjawab berkenaan bukannya mudah.

Katanya lagi, dia kini sudah mempunyai persefahaman yang baik bersama pasangan dalam melayari kehidupan berumah tangga.

"Saya kini dalam proses menyesuaikan diri. Perbezaanya dahulu kami tinggal seorang diri dan kini sudah tinggal bersama,"jelasnya.

Dalam perkembangan lain Wan Raja berkata, dia akan terlibat dalam pementasan teater Raja Ku Puteh yang bakal berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 10 hingga 12 April.

Pementasan berkenaan akan bermula pukul 8.30 malam.

 

Wan Raja

Artikel Lain