suria

Forteen Nafi Berpecah Kerana Projek Solo

Forteen masih utamakan untuk bergerak secara berkumpulan walaupan punyai projek solo.

PETALING JAYA: Kumpulan Forteen menyangkal dakwaan bakal berpecah kononnya disebabkan mereka mempunyai projek solo.

Ahlinya, Ameer atau Mohammad Arif Ameerais Azhar, 25, berkata, projek solo adalah rancangan pihak pengurusannya KRU bagi mengembangkan lagi bakat anggota kumpulan tersebut.

"Projek solo kami tidak bermaksud Forteen akan berpecah sebaliknya ia adalah rancangan KRU untuk mengembangkan bakat anggota Forteen lain dalam bidang ini.

"Projek solo itu tidak diberi secara serentak, ia secara berperingkat iaitu saya akan keluar dahulu dengan single solo berjudul Hitam bersama kumpulan hip hop Dualiti," ujarnya kepada mStar Online di sini.

Ameer berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di ruangan pojok sebuah akhbar bahawa kumpulan tersebut bakal berpecah.

Forteen dianggotai oleh Izzue Islam, Wan, Ariz dan Ameer.

Ameer

Ameer berkata, buat masa ini keutamaan dan komitmen masih diberikan kepada kumpulan Forteen.

Tambahnya, projek solo tersebut juga tidak menganggu jadual persembahan dan promosi lagu kumpulan itu.

"Walau ada projek lain keutamaan kami masih diberikan kepada kumpulan Forteen, lagi pula kami baru sahaja melancarkan single baru berjudul Linangan Terakhir.

"Saya anggap satu cabaran juga bila terpaksa mempromosikan dua single dalam satu masa," katanya.

Bercerita tentang single terbaharu, Ameer berkata, lagu tersebut merupakan percubaannya untuk membawakan muzik genre hip hop.

"Katanya, lagu tersebut juga sudah dimainkan di radio dan mula mendapat perhatian pendengar.

"Muzik untuk single solo ini berbeza daripada yang saya bawa bersama Forteen, saya nak cuba genre hip hop pula dan alhamdulillah ia mula dapat perhatian," ujarnya.
Forteen

Artikel Lain