SHAH ALAM: Pelakon Zul Ariffin memberitahu drama lakonannya Rindu Awak 200% membawa dirinya pada satu tahap lebih tinggi dalam industri lakonan tanah air. Zul, 29, berkata, menerusi drama berkenaan dia meraih populariti mendadak yang tidak pernah dirasai sebelum ini. "Drama itu mengubah hidup saya daripada tidak dikenali kepada seseoranh yang menjadi perhatian masyarakat dan industri. "Sekarang baru saya rasa bagaimana menjadi orang dikenali dan kalau dulu isi minyak orang buat tidak tahu sahaja, namun sekarang ada sahaja yang akan tegur," ujarnya kepada mStar Online. Zul ditemui pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, malam Sabtu. Pada acara itu Zul meraih anugerah Pelakon Lelaki Pilihan menewaskan pelakon Sharnaaz Ahmad, Aiman Hakim, Shukri Yahya dan Aeril Zafril. Zul gembira lakonannya diterima baik oleh peminat. Selain itu, Drama Rindu Awak 200% merangkul empat daripada tujuh anugerah yang dipertandingkan malam tersebut termasuk kategori utama iaitu Drama Pilihan. Dalam pada itu, Zul berkata, populariti mendadak itu tidak menjejaskan kehidupan sehariannya, malah dia menganggap ia sebagai perkembangan yang positif. "Alhamdulillah, saya gembira bila orang ramai kenal dan suka saya kerana karakter tersebut. Saya anggap ia sebagai perkembangan positif," ujarnya. Sementara itu, Zul berkata dia akan mengekalkan imej bersih seperti watak Zill Faezrul dalam drama tersebut dalam satu tempoh masa. Katanya, buat masa ini dia juga memilih watak romantik seperti dalam drama tersebut yang disukai penonton. "Saya akan kekalkan imej sebegini dalam satu tempoh masa dan menerima tawaran yang lebih kurang sama iaitu romantik bagi mengekalkan momentum yang ada sekarang. "Buat masa ini memang terpaksa batalkan niat terlalu berkarya seperti berjambang atau berambut panjang yang tidak disukai penonton," ujarnya.