suria

Pelawak Os Maafkan Penyebar Fitnah Berita Kematiannya

Mr Os memaafkan pihak yang menyebarkan fitnah kononnya dia sudah meninggal dunia.

PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Mr Os tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang menyebarkan fitnah di laman sosial sejak Rabu kononnya dia sudah meninggal dunia.

Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid, 54, berkata, dia sudah memaafkan pihak tersebut dan berharap kejadian itu dapat menjadi ikhtibar kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak sahih di laman-laman sosial.

"Perkara yang sudah lepas jangan dikenang cuma jadikan ia sebagai iktibar bila ingin berkongsi sesuatu berita di laman sosial dan pastikan terlebih dahulu kesahihannya.

"Saya sudah maafkan pihak tersebut. Anda juga maafkanlah dia, kasihan kepadanya," katanya.

Maklumat palsu mengenai Mr Os yang tersebar di Facebook sejak Rabu lalu.

Dalam pada itu, Mr Os turut memuat naik sebuah video pendek bagi membuktikan dia masih hidup dan berterima kasih kepada semua peminat yang mendoakan kesihatannya.

Mr Os menerusi laporan mStar Online pada Rabu menyangkal dakwaan tersebut dan menjelaskan dia dimasukkan ke Hospital Selayang selama lapan hari sejak 14 Mac lalu kerana menjalani pembedahan penyakit tonsil.

Bagaimanapun kata pelawak terkenal tahun 80-an itu, keadaannya beransur pulih selepas dirawat dan kini masih lagi berehat daripada melakukan sebarang aktiviti luar sebelum kembali bekerja.

Pendedahan tersebut menamatkan segala spekulasi yang tersebar di laman sosial kononnya dia sudah meninggal dunia.

Mr.Os.

Artikel Lain