suria

Najwa Latif Akui Kerjaya Seninya Semakin Perlahan

PETALING JAYA: Penyanyi Najwa Latif mengakui karier nyanyiannya agak perlahan sejak akhir-akhir ini kerana sibuk dengan pengajiannya di Universiti Antarabangsa UNITAR sejak setahun lalu.

Najwa, 20, berkata, dia perlu memberikan fokus kepada pelajarannya memandangkan dia kini sudah memasuki semester kedua dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di universiti tersebut.

"Saya tidak menyepi daripada industri tetapi sedang sibuk dengan pelajaran tambahan pula saya kini sudah menyambung pengajian diperingkat ijazah sarjana muda di UNITAR," katanya kepada mStar Online.

Tambah Najwa, ketiadaan single terbaharu juga turut menjadi faktor namanya tenggelam berbanding rakan artis seangkatannya.

Bagaimanapun kata Najwa, dia masih aktif mengadakan persembahan terutamanya pada hujung minggu dan tawaran masih banyak diberikan.

"Single terakhir yang saya keluarkan adalah Hilang pada tahun lalu dan mungkin itu juga menjadi sebab saya dilihat senyap daripada industri wahal persembahan pentas masih saya lakukan seperti biasa," katanya.

Dalam pada itu, Najwa tidak berasa terbeban apabila terpaksa membahagikan fokusnya kepada pelajaran dan kerjaya sebagai penyanyi yang menuntut pengurusan masa teratur.

Najwa kini sibuk dengan pengajiannya di UNITAR.

Jelas Najwa, dia sudah terbiasa dengan keadaan itu memandangkan kerjayanya bermula sejak dia dibangku sekolah ketika berusia 16 tahun.

"Dulu lagi teruk kerana saya terpaksa berulang alik dari Johor ke Kuala Lumpur dan pergi ke sekolah seperti biasa pada keesokkan harinya. Jadi sekarang juga tiada bezanya.

"Malah lebih fleksible memandangkan universiti tempat saya belajar tidak jauh daripada rumah," ujarnya.

Sementara itu, Najwa berkata, dia baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Suatu Hari Nanti yang dicipta oleh Aliff dari kumpulan Sleeq.

Dia juga sedang dalam proses merakamkan album terbaharunya dan sudah menyiapkan lima buah lagu hasil kolaborasi bersama kakaknya, Syafiqah Latif.

"Insya-Allah album itu nanti akan memuatkan 10 buah lagu dan ia sedang dalam proses rakaman. Selain Syafiqah, projek itu turut mendapat kerjasama daripada Aliff (Sleeq).

"Kemunculan single terbaharu ini juga diharap dapat diterima baik oleh peminat dan Alhamdulillah telah mendapat tontontan hampir 140,000 di Youtube sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu," katanya.

Najwa Latif, Suatu Hari Nanti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain