suria

Lana Nodin Ingin Cuba Nasib Di Amerika Syarikat

Lana dan Mohd Daud akan disatukan sebagai suami isteri pada 15 Mei depan.

PETALING JAYA: Pelakon Lana Nodin berhasrat untuk mengembangkan karier lakonannya di Amerika Syarikat selepas berkahwin dengan teman lelakinya, David McKienzie atau nama Islamnya, Mohd Daud McKienzie pada 15 Mei depan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin, 35, berkata, secara kebetulan bakal suaminya itu mempunyai kenalan yang bekerja sebagai ejen dalam bidang perfileman dan ingin mengambil peluang itu untuk mencuba nasib.

"Insya-Allah sekiranya semuanya berjalan lancar saya ingin mengembangkan karier lakonan di Amerika malah David juga ada memberitahu dia mempunyai kenalan dalam bidang tersebut.

"Alang-alang sudah ke sana apa salahnya saya mencuba nasib untuk membina nama di negara orang," katanya kepada mStar Online.

Pasangan berkenaan akan disatukan sebagai suami-isteri dalam satu majlis yang akan diadakan di Hotel Istana selepas lelaki berusia 35 tahun itu melamar Lana ketika mereka bercuti di New York pada 3 Januari lalu.

Mereka berkenalan selepas bertemu dalam satu acara yang diadakan di Marina Sand Bays, Singapura pada 27 Oktober tahun lalu.

Lana dan Mohd Daud berkenalan pada 27 Oktober tahun lalu.

Dalam pada itu, Lana berkata, selepas mendirikan rumah tangga dia sedar keutamaannya harus diberikan kepada suaminya berbanding perkara lain termasuk lakonan.

Bagaimanapun katanya, David tidak pernah menghalang dia untuk meneruskan karier lakonannya sama ada di Malaysia atau peringkat antarabangsa kerana sedar itu adalah minatnya sejak dahulu.

"Meskipun David tidak pernah menghalang saya untuk meneruskan karier dalam bidang seni tetapi sebagai seorang isteri saya sedar di mana keutamaan saya dan Insya-Allah buat permulaan ini rumah tangga menjadi perhatian saya.

"Malah kalau boleh selepas berkahwin kami segera ingin menimang cahaya mata kerana usia kami pun bukannya semakin muda," katanya.

Sementara itu, Lana berkata, dia berharap berita perkahwinannya itu akan melenyapkan semua kisah negatif yang pernah dikaitkan dengannya selain gembira dapat merialisasikan impian ibunya untuk melihatnya berkahwin.

Lana Nodin.

Artikel Lain