suria

Pelawak Baru Tidak Gugat Didie Alias

Didie Alias diumumkan sebagai Artis Komedi Wanita Popular, ABPBH 2014.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Didie Alias tidak berasa tergugat dengan kemunculan pelawak wanita baharu kerana mereka adalah pelapis bagi meneruskan legasi pelawak sedia ada.

Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd Ali, 41, berkata, sebagai senior dalam bidang tersebut dia merasakan adalah penting untuknya memberikan sokongan kepada pelawak wanita pelapis memandangkan bilangan mereka yang terlibat dalam industri komedi sangat kurang.

"Tercabar itu tidak pernah ada dalam senarai kerana lebih banyak pelawak wanita yang ingin mencuba mencuba nasib dalam bidang komedi adalah lebih baik kerana bilangan yang ada sekarang pun sangat kurang.

"Pelapis-pelapis inilah nanti akan mengambil tempat selepas kami bersara dan meneruskan perjuangan terdahulu yang diketengahkan seperti Norlia Ghani, Rosnah Mat Aris dan Wan Maimunah," katanya kepada mStar Online.

Didie memenangi Artis Komedi Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2014 pada Ahad lalu menewaskan Jihan Muse, Dottie, Enot, dan Ifa Raziah.


Didie Alias mencium rakannya Jihan Muse selepas diumumkan sebagai pemenang artis komedi wanita popular, ABPBH 2014.
Dalam pada itu, Didie berkata, untuk bertahan lama dalam bidang komedi seorang pelawak itu perlu menghasilkan jenaka yang asli dan tidak terlalu terikat dengan skrip.

Malah dia merasakan masih banyak ruang boleh diperbaiki terutamanya pelawak wanita yang masih belum mahir dalam melakukan lawak secara spontan.

“Ramai yang nak menjadi pelawak tetapi mereka perlu tahu pengisian jenaka dan saya lihat pelakon filem dan drama boleh menjadi pelakon komedi tetapi mereka seolah memaksa.

“Lawak itu spontan dan satu kurniaan. Kadang-kala kita tengok sesetengah pelakon macam dipaksa melakonkan watak komedi tersebut dan itu kekurangan yang perlu diperbaiki," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangannya di ABPBH 2014, Didie berkata, dia tidak menyangka memenangi anugerah tersebut kerana hampir setahun merehatkan diri dalam industri ini.

"Sebenarnya saya sangat terkejut dan tidak menyangka langsung akan memenangi anugerah ini kerana sudah lama tidak aktif dalam bidang lakonan.

"Saya menganggap ini merupakan rezeki anak-anak terutamanya anak bongsu saya Muhammad Dayyan yang berusia hampir setahun," katanya.

Dalam perkembangan lain, Didie memberitahu dia kembali aktif dalam lakonan telefilem dan bakal tampil menerusi Sinar Penghujung Tadbir arahan Rashid Sibir yang akan ditayangkan di slot cerekarama TV3.  
Didie Alias

Artikel Lain