KUALA LUMPUR: Anak bongsu kepada Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Nadim kesal apabila abangnya (berlainan ibu), Hang Tuah @ Shazrin mendedahkan kemelut keluarga mereka dalam satu sidang media yang diadakan di Hotel PNB Darby Park di sini pada Jumaat. Hang Nadim, 24, berkata, Hang Tuah sepatutnya bersemuka dengan keluarganya tanpa melibatkan pihak luar dalam apa juga isu berbangkit untuk berbincang secara baik. "Saya tidak faham mengapa perlu melibatkan orang lain dalam hal keluarga? Pintu rumah kami sentiasa terbuka untuk menerima kunjungannya biarpun sudah empat tahun dia tidak datang menjenguk ayah. "Hendak kata kami pernah menghalaunya sebelum ini tiada pula. Sepatutnya isu ini diselesaikan di antara kami sahaja," katanya. "SAYA ANAK JINS SHAMSUDDIN YANG SAH" - HANG TUAH Hang Nadim mengulas mengenai sidang media yang diadakan oleh Hang Tuah, 41, bagi memperbetulkan fakta dikeluarkan ibu tirinya, Puan Sri Halijah Abdullah dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar harian 5 Februari lalu. Halijah dikatakan membuat kenyataan dengan mendakwa bekas Ahli Dewan Negara itu hanya mempunyai tiga orang anak menerusi dua perkahwinan. Hang Nadim menjadi tumpuan media selepas dia turut hadir pada sidang media yang diadakan abangnya di Hotel PNB Darby Park pada Jumaat. Bagaimanapun Hang Tuah menegaskan dia adalah anak kandung seniman veteran itu yang sah hasil perkahwinan kedua bapanya dengan Jamilah Shukor pada tahun 1973. Hang Nadim turut hadir pada sidang media berkenaan bersama beberapa ahli keluarga lain tanpa pengetahuan Hang Tuah. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hang Nadim menyifatkan kenyataan ibunya lebih kepada sindiran selain apa yang diucapkannya itu kerana hatinya terluka dengan sikap Hang Tuah. "Bayangkan perasaan orang tua sepertinya apabila seorang anak tidak datang menjenguk keluarga selama empat tahun selain senyap tanpa sebarang khabar berita. "Apa yang dilafazkan ibu saya adalah semata-mata kerana terkilan dan tidak sepatutnya Hang Tuah meminta ibu saya memohon maaf kepadanya," ujar Hang Nadim. Diminta mengulas mengenai penjelasan Hang Tuah mengenai dia adalah anak kandung Jins Shamsuddin, Hang Nadim berkata, dia tidak perlu menjawab perkara itu secara terbuka kepada media namun menganggap individu itu sebagai ahli keluarganya. Hang Tuah menegaskan dia anak kandung Jins Shamsuddin. "Apa yang boleh saya katakan saya tahu semua cerita sebenar kerana ketika ayah masih sihat, ayah pernah menceritakan kepada saya termasuk perkara dibangkitkan Hang Tuah dalam sidang media ini. "Malah saya mempunyai semua bukti yang turut saya bawa bersama dalam sidang media ini dan berharap dia akan datang ke rumah sekiranya ingin mengetahui cerita sebenar," jelasnya. Dalam pada itu, Hang Nadim berkata, dia tidak berpuas hati dengan alasan 'isu peribadi' menjadi punca Hang Tuah tidak datang menjenguk bapa mereka selama empat tahun. "Soalan saya mudah, mengapa tidak menjenguk ayah selama empat tahun atau bertanya khabar? Apa kesalahan yang telah ayah atau kami lakukan sehingga dia bertindak sedemikian? "Bukannya dia tidak tahu di mana kami tinggal malah sebelum ini ada beberapa kali dia bermalam di rumah kami. Jins Shamsuddin kini berada dalam keadaan uzur akibat penyakit Alzheimer. "Biarpun kami bukanlah terlalu rapat tetapi seingat saya hubungan kami sebelum ini baik malah saya memanggilnya dengan panggilan 'Abang Wah'," ujarnya. Sementara itu, Hang Nadim berkata, dia berasa kasihan kepada bapanya apabila kemelut itu berlaku kerana ayahnya itu tidak dapat berbuat apa-apa bagi mempertahankan dirinya kerana ingatannya yang semakin lemah akibat penyakit Alzheimer. Katanya lagi, tindakan Hang Tuah mengadakan sidang media hanya akan mencalarkan nama baik bapa mereka di mata masyarakat yang tidak mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut. "Perkara ini cukup memalukan dan mencalarkan nama ayah kerana selama bertahun-tahun dia membina namanya dengan reputasi baik tetapi akhirnya jadi begini," katanya.