PETALING JAYA: Pengacara Fara Fauzana menjelaskan cincin yang menjadi bahan gurauan menerusi segmen Hot FM AM KREW pada pagi Isnin bukanlah cincin merisik seperti yang diperkatakan. Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 35, berkata, cincin tersebut baru saja dibeli sendiri dan ia tiada kaitan langsung kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. "Itu cuma usikan nakal rakan-rakan di Hot FM berikutan usikan Awal Ashaari di program hiburan Melodi semalam (Ahad). "Rakan-rakan penyampai radio di sini sememangnya sentiasa mencari peluang untuk mengenakan saya, jadi pagi ini saya terkena. "Saya harap tiada pihak yang keliru atau salah sangka pula yer," katanya kepada mStar Online pada Isnin. Fara Fauzana Pada pagi Isnin, Fara telah diusik dua rakan penyampai radio lain iaitu AG dan Tun Nadia ketika mengendalikan segmen Hot FM AM KREW. Tun Nadia dan AG ketika itu secara berseloroh bertanya mengenai cincin yang dipakai Fara di mana sebelum ini ia belum pernah dilihat dan mereka mengandaikan ia mungkin telah diberikan oleh seseorang. Bagaimanapun Fara kemudiannya menafikan perkara tersebut. Sementara itu, Fara berkata, dia tidak pernah marah atau berkecil hati apabila ditanya bilakah bakal mengakhiri zaman bujangnya kerana sudah lali dengan pertanyaan sebegitu. "Saya dah biasa dengan soalan dan usikan tentang kahwin. Tak marah pun. Bagi saya semua itu adalah satu doa. InsyaAllah satu hari nanti," ujarnya.