PETALING JAYA: Pelakon dan penerbit Hans Isaac terpaksa akur faktor masa yang singkat menyebabkan pementasan teater Lawak Ker Der 2015 tidak mendapat sebarang tajaan daripada mana-mana pihak korporat berbanding tahun sebelumnya. Hans, 43, berkata, biarpun tiada sebarang tajaan namun pihaknya tekad untuk meneruskan persembahan itu kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada peminat genre komedi. "Lawak Ker Der 2015 memang tiada tajaan daripada mana-mana pihak kerana faktor masa yang singkat tetapi itu bukan alasan untuk pihak kami meneruskan dengan perancangan itu," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Lawak Ker Der 2015 bakal menampilkan barisan pelawak seperti Harith Iskander, Afdlin Shauki, Douglas Lim, kumpulan Bocey dan pendatang baharu Rayza Mukmin. Dalam pada itu, Hans berkata, dia berasa lega apabila penjualan tiket pementasan itu mula menunjukkan peningkatan mendadak biarpun pada awalnya sambutan agak membimbangkan. Jelas Hans, sejak beberapa hari ini, kaunter tiket di Istana Budaya mula dipenuhi dengan peminat yang beratur untuk mendapatkan tiket pementasan itu. "Seperti kebanyakkan pementasan lain, peminat memang suka mendapatkan tiket pada saat-saat akhir dan syukur penjualan kini amat memberangsangkan. "Malah dua persembahan pada 19 April sudah pun habis dijual setakat ini," katanya. Sementara itu, Hans berkata, dia berharap barisan pelawak ditampilkan tahun ini akan memberi kepuasan luar biasa kepada penonton memandangkan kesemua mereka berjanji akan menampilkan kelainan pada persembahan itu nanti. Kata Hans, dia sentiasa mengingatkan pelawak agar tampil dengan bahan yang segar agar penonton tidak berasa bosan selain dapat meninggalkan kenangan manis kepada mereka. "Bagi menjaga jenama Lawak Ker Der pemilihan bahan yang ingin dipentaskan sangat penting kerana ia bukan persembahan biasa tetapi diadakan di sebuah panggung berprestij di negara ini. "Harapan saya sudah tentu semua penonton yang hadir akan berasa puas dengan barisan pelawak ditampilkan," ujarnya. Tiket untuk menyaksikan Lawak Ker Der 2015 dijual pada harga RM46, RM86, RM126, RM156 dan RM176. Tiket boleh dibeli di www.ticket2u.biz dan kaunter tiket Istana Budaya. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pembelian tiket, sila hubungi 03-42532241.