PETALING JAYA: Penyanyi Kaka Azraff berasa amat terkilan dengan kenyataan aktres Tasha Shilla yang menuduh dia cuba mendampingi bekas kekasihnya iaitu Hans Wong. Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 26, berkata, Tasha mengeluarkan kenyataan tersebut di media tanpa berbincang dengannya apatah lagi dia langsung tiada kaitan dengan keretakan hubungan mereka. "Saya tidak sangka Tasha menuduh saya sebegitu. Saya pernah berborak dengan Hans di sebuah majlis, tetapi kami borak biasa sahaja. "Selepas itu saya tidak pernah berhubung apatah lagi mahu berbalas mesej dengan kekasih dia. "Bagi saya tuduhan Tasha terhadap saya itu melampau dan hanya mahu mencari publisiti murahan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Isnin. Hans dan Tasha kini sudah tiada apa-apa hubungan lagi. Ahad lalu, Tasha menerusi sebuah akhbar mingguan mendedahkan Kaka cuba mengambil kesempatan untuk rapat dengan kekasihnya ketika mereka dilanda masalah. Malah Kaka dikatakan sering berbalas mesej dengan Hans dan mengajak pemuda itu untuk keluar bersama. Terdahulu, terdapat khabar angin mengatakan Kaka menjadi punca hubungan percintaan Tasha dan kekasihnya Hans berantakan. Sementara itu, Kaka menganggap gosip tersebut adalah fitnah yang sangat berat, namun menganggap ia sebagai publisiti percuma yang diraih dalam mempromosikan single lagu terbaharunya, Bukan Hal Aku. "Walaupun ia satu fitnah yang tidak boleh diterima akal, saya positifkan diri bahawa ia satu publisiti untuk menaikkan nama saya. "Tambahan pula sekarang ini saya sibuk mempromosikan lagu Bukan Hal Aku. Dan yang penting, apabila isu ini timbul, ia memberi pengajaran besar buat diri saya agar berhati-hati memilih kawan," ujarnya. Lagu Bukan Hal Aku nyanyian Kaka featuring Sleeq merupakan ciptaan The Good Fella.