KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mendedahkan pernah ditipu penganjur konsert lebih daripada sepuluh kali sepanjang dia bergelar penyanyi. Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 45, berkata, kebanyakan penganjur meminta bayaran rendah daripada dia kononnya mahu membuat majlis amal, namun sebaliknya mereka menjual tiket untuk mengaut keuntungan lebih. "Memang dari dahulu lagi ada penganjur-penganjur acara yang suka membuat kerja-kerja penipuan ini. "Bayangkan saya yang masih lagi kanak-kanak sebelum ini pun ada orang yang cuba mengambil kesempatan. "Kononnya mahu membuat majlis amal dan mereka meminta saya untuk meletakkan harga yang rendah. Tetapi sebenarnya mereka tipu," katanya kepada mStar Online. Anuar Zain. Anuar ditemui pada sidang akhbar majlis amal makan malamnya di Zebra Square di sini pada Isnin. Majlis amal itu akan berlangsung pada 25 Julai depan. Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Mungkin ini, dia bersyukur kerana pengurusan peka dengan penganjur yang tidak bertanggungjawab selain peminat yang sentiasa mengambil tahu tentang setiap penganjuran persembahan diadakannya. Sementara itu, mengenai majlis makan malam amalnya Anuar berkata, ia diadakan bagi mengumpul dana yang sebanyak RM100,000 untuk kegunaan pelajar pasukan Electro, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dekat sini yang memerlukan wang untuk menyertai pertandingan F1 In Schools Technology Challenge pada September depan di Singapura. "Apabila melihat kepintaran mereka dalam bidang kejuruteraan pada usia muda, hati saya terus berkata mereka ini adalah masa depan negara dan kita mesti membantu apa-apa yang patut. "Kerana itu juga saya meletakkan harga minimum (untuk bayaran pemuzik) agar dapat mengumpulkan dana dengan lebih mudah," ujarnya. Tiket berharga RM885, RM685, RM485 dan RM285 boleh dibeli menerusi laman web www.ticketcharge.com.my atau dengan menghubungi talian 03-92228811 dan 019-2414090 Mat Nor).