PETALING JAYA: Bekas vokalis kumpulan Exists, Ezad Lazim mengakui kesilapannya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah banyak memberi pengajaran agar lebih menghargai keluarga. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, berkata, kejadian yang berlaku itu memberi kesedaran agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu perkara. "Apabila saya ditangkap, perkara utama yang difikirkan ialah isteri, kerana ketika itu dia sedang mengandung dan pada masa sama mengalami keguguran pula. "Ketika itu saya sudah mula rasa terdetik keinsafan di dalam diri dan menyesal kerana perbuatan diri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk berubah dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. "Dari situ timbul satu kesedaran di dalam diri supaya berfikir dahulu kesan terhadap sesuatu perkara yang dilakukan iaitu anak dan isteri yang akan terkena tempias," katanya kepada mStar Online. Ezad Lazim Ezad berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Menara Star, di sini. Tambahnya lagi, selepas kejadian itu dia kini lebih mengenali kehidupan yang sebenar dan sering mengutamakan keluarganya sebelum melakukan sebarang keputusan. "Dahulu, selagi tak kena tangkap dengan pihak polis, saya tidak terfikir pun tentang tempias yang akan terkena pada keluarga. Saya sayangkan keluarga, isteri dan anak dan mereka membuatkan saya betul-betul ingin berubah lebih-lebih lagi saya diberi peluang kedua yang tidak sepatutnya disia-siakan. "Saya berharap agar kali ini hati saya kuat untuk tidak lagi terjebak dengan najis dadah lagi," ujarnya. Sementara itu, Ezad berkata, biarpun kejadian itu telah mencalarkan namanya namun dia bersyukur masih mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan peminat. Ezad turut menasihatkan kepada orang ramai yang terjebak dengan penyalahgunaan dadah agar segera berhenti dan mendapatkan rawatan susulan sebelum mempunyai masalah pada masa hadapan. "Dadah ini sebenarnya tidak memberikan sebarang hasil kerana ia lebih banyak memberi kesan negatif kepada diri serta dipandang serong oleh masyarakat. "Terus terang saya cakapkan benda ini juga akan membuatkan hidup kita tidak terurus dan ia juga merosakkan masa depan serta imej,"katanya. Terdahulu Mahkamah Majestret Selayang mengenakan denda sebanyak RM3,500 dan pengawasan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas penyanyi itu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu seberat 0.30 gram pada 19 November tahun lalu. Ezad bernikah dengan Nor Azeana Ramli, 36, pada 30 Mac 2013 dan dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Puteri Rania Keisha yang brusia hampir dua tahun. Dalam perkembangan lain, Ezad kini sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya bertajuk Hati Mati duet bersama penyanyi rap RJ yang kini mendapat sambutan di radio tempatan. Lagu tersebut merupakan single kesepuluh Ezad yang dikeluarkan selepas dia mula bergerak secara solo dari tahun 2009. "Saya mencari sesuatu kelainan kerana buat pertama kalinya menyanyikan lagu yang lari daripada konsep sebelum ini di mana saya sering menyanyikan lagu yang berkonsep percintaan," katanya. "Hati Mati merupakan hadiah kepada peminat sebagai penghargaan kepada mereka pada tahun ini dan saya berharap agar lagu ini dapat sambutan dari para pendengar," katanya. Bagaimanpun lagu berkenaan untuk siaran radio Era FM dirakamkan tanpa kolaborasi RJ atas permintaan stesen radio itu. Antara single Ezad ialah Bertemu Cinta, Lafazkanlah, Selayaknya Kau Tahu, Percintaan Ini, Gambaran Sebuah Rindu, Kau Dan Aku Yang Dulu, Kerana Kamu dan Hati Mati.