suria

Osman Ali Nafi Suka Hasil Filem Guna Elemen Berahi

Osman Ali

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Osman Ali tidak bersetuju digelar sebagai pengarah yang suka menggunakan elemen-elemen berahi dalam karyanya kononnya bagi melariskan filem.

Osman berkata, kebanyakan orang berfikiran begitu hanya berdasarkan foto babak mesra dalam sesebuah filem yang dipromosikan sedangkan tiada adegan sebegitu dalam karyanya.

"Taklah. Saya bukan macam itu. Orang selalu memberi persepsi negatif hanya berdasarkan foto tanpa menonton karya saya itu.

"Sedangkan apabila mereka tonton, mereka sendiri mengaku tiada adegan berahi seperti yang dicanangkan," katanya.

Osman ditemui pada majlis pelancaran filem Langit Cinta yang diadaptasi ke novel di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad.

Baru-baru ini, filem arahannya, Pilot Cafe menerusi babak mesra antara Remy Ishak dan Izara Aishah menjadi bualan ramai, kononnya ia dilihat seperti adegan yang memberahikan.

Terdahulu, antara karya Osman yang menjadi kontroversi termasuklah filem Jiwa Taiko, Anak Halal, Malaikat Di Jendela dan Bukak Api.

Osman Ali (kanan) pada majlis pelancaran filem Langit Cinta yang diadaptasi ke novel. Foto RICKY LAI


Sementara itu, mengenai Langit Cinta, ia merupakan kali pertama karyanya itu diadaptasi ke sebuah novel di mana ia akan dipasarkan sebelum filem tersebut ditayangkan pada penghujung tahun ini.

"Bagi saya, ia satu penghormatan apabila filem ini diadaptasi kepada novel di mana ia jarang-jarang dibuat oleh mana-mana pihak.

"Apabila novel karya ini yang akan keluar dahulu sebelum filem ditayangkan, ia juga salah satu strategi untuk menarik peminat novel itu ke panggung wayang pula.

"Saya harap ia akan mendapat sambutan box office seperti filem Ombak Rindu empat tahun lalu," ujarnya. 

Filem Langit Cinta menampilkan barisan pelakon seperti Keith Foo, Nur Fazura, Farid Kamil, Siti Saleha, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Jalaluddin Hassan dan Dian P Ramlee.

Ia mengisahkan percintaan antara Alif Zulkarnain (lakonan Keith Foo) dan Khadijah (Nur Fazura). Alif merupakan anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan keluarganya. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia mulajatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.

Biarpun hubungannya dengan Khadijah ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan wanita itu. Bermula dari situ, kehidupan Alif penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran.

Osman Ali

Artikel Lain