PETALING JAYA: Pelakon dari Singapura iaitu Shah Iskandar meluahkan rasa syukur kerana telah mendapat Pas Residen untuk bekerja di negara ini yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia pada April lalu. Shah berkata, pas tersebut sekali gus akan memudahkannya untuk dia tinggal dan bekerja di Malaysia dalam tempoh masa lima hingga 10 tahun tanpa perlu berurusan dengan jabatan itu. "Sebelum ini saya kerap berulang alik Malaysia dan Singapura kerana mahu memperbaharui visa dan permit kerja. "Alhamdulillah, selepas mendapat Pas Residen tersebut, ia lebih memudahkan kerja saya dan pada masa sama dapat memberi fokus penuh terhadap bidang lakonan," katanya kepada mStar Online. Menerusi Pas Residen, mereka dibenarkan bekerja tanpa sekatan ke atas tempat kerja ataupun majikan. Bagaimanapun pemegang pas ini tidak akan menikmati tempoh tinggal tanpa had masa dan kelayakan untuk memperoleh taraf Pemastautin Tetap (PR) Malaysia serta tidak mempunyai tuntutan untuk memohon sebagai warganegara. Shah berkata dia turut merancang untuk mendapatkan status taraf penduduk tetap di Malaysia dan berhasrat membawa keluarganya menetap di negara ini. Sementara itu, beritahu Shah, sejak memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014) awal April lalu, dia bersyukur kerana tawaran lakonan semakin bertambah. "Alhamdulillah, rezeki lakonan semakin baik. Selepas meraih kemenangan itu, menjadi tanggungjawab saya untuk bekerja keras agar peminat-peminat lebih berpuas hati dengan lakonan saya," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Shah kini sibuk dengan penggambaran drama berjudul BIP terbitan Zeel Production.