suria

Ronnie Sahkan Disingkir Untuk Selesaikan Kemelut Hyper Act

Pengumuman Ronnie disingkirkan secara rasmi daripada Hyper Act menerusi temubual program radio.
PETALING JAYA: Penyanyi Ronnie menganggap penyingkirannya sebagai vokalis kumpulan Hyper Act adalah untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kumpulan itu sejak kebelakangan ini.

Ronnie atau nama sebenarnya Shahron Hussien, 34, berkata, keputusan itu dibuat atas dasar persetujuan bersama dalam satu perbincangan yang telah diadakan oleh ahli-ahli kumpulan itu.

"Saya bukannya disingkirkan tanpa pengetahuan saya seperti mana diperkatakan sebelum ini tetapi ia atas perbincangan bersama di antara kami.

"Bagi saya tidak ada apa yang ingin diperbesarkan kerana semuanya sudah selesai dengan baik," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Ronnie mengulas mengenai tindakan salah seorang anggota Hyper Act iaitu Toi (pemain bass dan vokalis kedua) yang mengumumkan penyingkirannya secara rasmi melalui temuramah dengan sebuah radio baru-baru ini.

Ronnie menjelaskan perbincangan telah dibuat bersama anggota Hyper Act sebelum penyingkirannya dibuat.

Kemelut di antara mereka dikatakan berlaku selepas Ronnie dipercayai sering mengadakan persembahan secara solo menyebabkan Hyper Act terpaksa menggunakan khidmat penyanyi undangan lain.

Bagaimanapun kedua-dua pihak sebelum ini mengelak daripada mengulas kemelut yang timbul dalam kumpulan itu.

Selain Ronnie dan Toi, Hyper Act turut dianggotai oleh Md Zakir Mohd Rahizan (Akir-keyboard), Freddy Ady Putra Adnan (Freddy-gitar utama), Sharizan Syarifudin (Intan-gitar kedua), dan Zamri Haron (Labib-drum).

Dalam pada itu, Ronnie enggan mengulas mengenai punca sebenar penyingkirannya dan menegaskan hubungan dia dengan anggota lain kumpulan itu masih baik.

Ronnie hanya memberitahu, sekarang adalah masa paling sesuai untuk mereka semua membawa haluan sendiri namun tetap menyokong karier masing-masing.

"Sebenarnya tidak ada ada isu pun cuma berita mengenainya disensasikan dan hubungan kami masih lagi baik sebenarnya.

Hyper Act.

"Sudah tiba masanya kami mengubah angin dan mencuba sesuatu yang baharu," katanya.

Sementara itu, menjelaskan dia tidak dibenarkan menyanyikan lagu kumpulan itu selepas ini, Ronnie berkata, kenyataan yang dibuat Toi sebenarnya telah disalah ertikan.

Jelas Ronnie, Toi tidak pernah menghalangnya untuk menyanyikan lagu-lagu popular ketika mereka masih bersama walaupun masing-masing telah berpecah.

"Apa yang Toi maksudkan adalah lagu-lagu baharu mereka selepas ini sahaja tidak boleh saya nyanyikan untukl mengelakkan kekeliruan peminat, itu sahaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ronnie berkata, dia belum mempunyai sebarang perancangan khusus mengenai karier solonya namun berjanji akan tetap aktif sebagai penyanyi.

"Sekarang masih tiada apa-apa, Insya-Allah nanti saya maklumkan kepada semua peminat," ujarnya.

Ronnie, Hyper Act.

Artikel Lain