suria

Ada Hikmah Zamarul & Diana Rujuk Semula

Zamarul menyarung cincin di jari Diana tanda rujuk semula.
SHAH ALAM: "Terima kasih kerana masih setia dengan saya." Itu adalah ungkapan istimewa pelakon dan penyanyi Diana Rafar terhadap suaminya, Zamarul Hisham selepas Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan lafaz rujuk yang dibuat aktor berkenaan pada 14 Februari lalu.

Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar, 33, berkata, sepanjang mereka tinggal berasingan selama empat bulan, suaminya itu tetap setia kepadanya dan dia terharu dengan keikhlasan ditunjukkan Zamarul itu.

"Sepanjang empat bulan kami berpisah (tinggal berasingan) dia boleh mencari pengganti jika dia mahu tetapi Zamarul memilih untuk setia kepada saya.

"Disebalik perceraian kami terlalu banyak hikmah yang sukar saya ungkap dengan kata-kata tetapi saya bersyukur mendapat seorang suami sepertinya," katanya kepada mStar Online.

Zamarul, Diana dan anak-anak mereka kembali hidup bersama.

Terdahulu, pasangan ini bercerai pada 14 Januari lalu selepas enam tahun berkahwin sebelum mengambil keputusan merujuk semula sebulan kemudian yang dibuat Zamarul secara lisan terhadap Diana iaitu ketika dalam tempoh edah.

[SILA KLIK: Zamarul & Diana Rafar Disahkan Rujuk Semula Selepas Sebulan Cerai]

Dalam pada itu, Diana berkata, perpisahan tersebut banyak membuatnya mengenang kembali kesalahan diri sendiri sepanjang perkahwinan mereka dan berikrar untuk memperbaiki kekurangan yang ada sebelum ini.

"Saya bukan seorang yang sempurna dan ada melakukan kesalahan tetapi ini adalah peluang saya dan suami untuk perbaiki kesilapan lalu dan juga menggalas tanggungjawab dengan lebih baik selepas ini," katanya.

Tidak mahu mengenang kisah lama, Diana bagaimanapun berkata, dia belajar bahawa hal berkaitan rumah tangga tidak sepatutnya diberitahu kepada pihak luar dan sebagai suami-isteri mereka perlu bijak memperbaiki keadaan.

"Saya akui sebelum ini pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga kepada pihak luar dan tanpa disedari ia sedikit sebanyak memberi kesan dan perkara itu tidak akan berulang selepas ini.

"Hidup berumah tangga perlu tahu tanggungjawab dan peranan dan kejadian sebelum ini banyak membuka mata kami," jelasnya.

Seperti baru berkahwin...

Sementara itu, Zamarul, 44, berkata, tempoh 15 tahun mengenali Diana dan enam tahun hidup sebagai suami-isteri membuatkan dia benar-benar kecewa apabila hubungan itu terlerai melalui perceraian.

Bagaimanapun katanya, sepanjang empat tinggal berasingan, kehidupannya terasa kehilangan dan kosong tanpa Diana disisinya sehingga membuatkan dia sedar kepentingan isteri dalam hidup.

"Sudah 15 tahun kami bersama, banyak kebaikkan dari keburukkan dalam hubungan kami yang tidak patut disia-siakan.

"Saya tidak mahu merasai perpisahan atau menjejakkan kaki ke mahkamah kerana ia bukan satu perasaan yang indah dan cukuplah empat bulan saya merasai kehilangan," ujarnya.

Malah dia sentiasa berdoa agar ikatan jodohnya dengan Diana disatukan semula dan bersyukur doanya itu dimakbulkan.

"Sejak bercerai perasaan saya tidak pernah pudar terhadap Diana malah saya bimbang sekiranya dia mula lupakan saya dan bertemu lelaki lain.

"Setiap hari saya berdoa dan Alhamdulillah jodoh kami kuat dan disatukan semula," katanya.

Dalam perkembangan sama, pasangan itu turut mengadakan majlis kecil-kecilan sebagai tanda bersyukur dengan penyatuan mereka di Bainy Gold & Diamant di Seksyen 13, di sini.

Malah dia terharu apabila pihak pengurusan butik berkenaan sudi menaja dua bentuk cincin untuk disarungkan ke jari masing-masing sebagai simbolik penyatuan mereka berdua.

"Alhamdulillah, saya dan Diana bersyukur dengan rezeki Allah apabila Bainy Gold & Diamant sudi menaja cincin 'perkahwinan' kami.

"Tiada kata selain gembira dan bersyukur kerana langsung tidak menyangka pengesahan rujuk kami diraikan dengan begitu istimewa," jelasnya yang merancang untuk membawa isterinya itu berbulan madu buat kali kedua.

Zamarul dan Diana berkahwin pada 16 Mei 2009 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu kashlif Haiqal yang kini berusia 5 tahun.

Sebelum perkahwinan itu Zamarul merupakan seorang duda.

Zamarul Hisham, Diana Rafar

Artikel Lain