suria

Elizabeth Tan Perjelaskan Isu Batalkan Persembahan

Elizabeth Tan menjelaskan kesihatannya terjejas menjadi punca dia membatalkan sebuah persembahan disaat-saat akhir.

PETALING JAYA: Penyanyi yang popular menerusi lagu Knock Knock, Elizabeth Tan tidak menyangka kegagalannya menghadiri sebuah persembahan baru-baru ini menjadi isu besar biarpun pihak penganjur mengetahui punca sebenar dia menarik diri.

Elizabeth atau nama sebenarnya, Elizabeth Tan Su Mei, 22, berkata, dia bukan sengaja untuk membatalkan kemunculannya di saat-saat akhir tetapi kesihatannya tiba-tiba terjejas beberapa hari sebelum persembahan selain suaranya terganggu dan tidak boleh menyanyi.

"Mereka ada bertanya kenapa tidak memberitahu seminggu awal untuk membatalkan persembahan tersebut tetapi soal kesihatan bukannya saya dapat kawal bila ia akan berlaku.

"Benar saya ambil keputusan untuk menarik diri daripada semua persembahan yang ada pada hari tersebut kerana kesihatan saya tertanggu dan suara juga tidak keluar dan tidak sedap untuk didengar.

"Jujur saya katakan, saya bukan sengaja membatalkan persembahan tersebut dan saya sendiri kesal tetapi keadaan memaksa dan turut mendapat cuti sakit dari doktor," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Ahad.

Elizabeth berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar pada Ahad, dia menarik diri daripada mengadakan persembahan pada saat-saat akhir seperti dijanjikan setelah menerima wang deposit daripada pihak penganjur.

Menjawab mengenai wang deposit yang telah dibayar terlebih dahulu kepadanya, Elizabeth menjelaskan dia tidak mengetahui apa-apa tentang perkara tersebut kerana ia diuruskan oleh pihak pengurusannya.

Dalam pada itu, Elizabeth berkata, dia sedar kejadian itu sedikit sebanyak meninggalkan kesan terhadap kredibilitinya sebagai penyanyi namun menegaskan dia bukannya cuba memberi alasan sebaliknya benar-benar jatuh sakit pada hari berkenaan.

Malah kata Elizabeth, ini adalah kali pertama dia membatalkan persembahan sejak terlibat dalam industri muzik dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada masa hadapan.

"Sebagai penyanyi saya sepatutnya perlu komited terhadap sesuatu tanggungjawab diberikan tetapi ia berlaku diluar kawalan. Saya tidak boleh memohon maaf kerana jatuh sakit tetapi kerana kejadian itu sudah berlaku saya minta maaf kepada semua pihak terlibat.

"Saya berharap kejadian serupa tidak akan berulang pada masa hadapan melainkan kalau saya jatuh sakit saya perlu mementingkan kesihatan terlebih dahulu berbanding perkara lain," jelasnya.

Elizabeth Tan, Knock Knock.

Artikel Lain