suria

Fazli Zainal Tidak Tertekan Ditegur Semakin Gemuk

Fazli Zainal tidak berkecil hati apabila ada pihak menegur berat badannya yang meningkat secara mendadak. Foto SHAARI CHE MAT.

PETALING JAYA: Penyanyi Fazli Zainal tidak berkecil hati apabila ada pihak menegur tentang berat badannya yang meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan lalu.

Fazli, 38, sebaliknya berkata, dia menganggap sesuatu teguran itu sebagai pemangkin semangat dan doa untuknya kembali mendapat berat badan ideal.

"Memang banyak teguran diberikan berikutan berat badan yang naik secara mendadak tetapi saya tidak berkecil hati kerana kata-kata mereka adalah pemangkin semangat buat saya untuk menguruskan badan.

"Apabila mereka tegur 'sihatnya engkau sekarang' saya anggap itu sebagai doa dan moga-moga kesihatan saya baik," katanya kepada mStar Online.

Fazli ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 syarikat rakaman EMI yang diadakan di Saloma Bistro di sini, Isnin.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Harapan itu berkata, peningkatan itu berkemungkinan disebabkan faktor usia dan penurunan kadar metabolisme sehingga berat badannya naik secara mendadak.

Fazli memberitahu sedang dalam proses mengurangkan berat badannya.

Malah katanya, faktor dia kini jarang melakukan aktiviti lasak turut menyumbang kepada perkara tersebut.

"Saya sendiri tidak tahu berapa berat badan terkini tetapi memang saya 'besar' dan ia mungkin disebabkan kadar metabolisme semakin menurun atas faktor usia memudahkan peningkatan itu.

"Sekarang kalau menghadiri program atau acara hiburan memang asyik makan sahaja dan tidak melakukan aktiviti lasak," ujarnya.

Bagaimanapun kata Fazli, dia kini sedang berusaha untuk menurunkan kembali berat badannya kerana bimbang ia akan menggangu kesihatannya pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, Fazli baharu sahaja menyiapkan dua buah lagu dan ia akan dijadikan lagu tema drama bersiri yang akan ditayangkan tidak lama lagi.

Kata Fazli, dengan cara itu dia berharap lagunya itu nanti akan mendapat perhatian dan sambutan pendengar memandangkan formula itu menjadi kepada penyanyi lain sebelum ini.

"Alhamdulillah diberi peluang oleh dua syarikat produksi untuk menyumbangkan lagu untuk dijadikan lagu tema dan saya optimistik ia dapat diterima baik peminat kerana impak drama ditayangkan itu nanti," ujarnya.

Fazli Zainal.

Artikel Lain