PETALING JAYA: Bintang bola sepak, Aidil Zafuan diganggu dengan panggilan telefon daripada orang tidak dikenali sejak Rabu lalu selepas bekas isterinya, Rita Rudaini Mokhtar mendedahkan nombor telefonnya dan isteri di laman sosial Instagram. Aidil atau nama sebenarnya Aidil Zafuan Abdul Radzak, 28, berkata, perbuatan Rita itu benar-benar melampaui batas kerana pendedahan berkenaan telah mengakibatkan privasinya dan isteri, Zareema Zainal terganggu. "Walaupun dia tidak menyatakan dalam Instagramnya nombor itu siapa tetapi menerusi kapsyen gambar, dia seolah-olah meminta peminatnya menyiasat nombor siapakah itu. Kemudian dia juga mendedahkan nombor telefon saya pada bahagian komen. "Perkara itu membuatkan saya dan isteri menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali sejak semalam (Rabu) sehinggalah ke hari ini (Khamis) tanpa henti. Ini dikira sudah mengganggu privasi kami," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Khamis. Gambar yang dimuat naik Aidil di Instagram miliknya ini akhirnya menjawab persoalan laporan polis dibuatnya ada kaitan dengan status Instagram Rita Rudiani. Aidil Zafuan berkata demikian apabila diminta komennya selepas dia memuat naik gambar di Instagramnya pada Khamis dengan memegang satu laporan polis bersama kapsyen; selesai membuat laporan polis. Wait and see. Terdahulu Rita Rudaini menerusi Instagram miliknya pada Rabu memuat naik paparan skrin yang memaparkan nombor telefon 019-3667771 dipercayai milik Zareema. Menerusi kapsyen gambar itu Rita menulis apa hak pemanggil berkenaan hendak mengganggunya pada waktu malam ketika dia sedang menidurkan anak-anak selain menganggap pemanggil berkenaan mahu mengintai aktiviti-aktivitinya. Status berkenaan sehingga malam Khamis mendapat lebih 3,277 likes dan 1,269 komen. Sementara itu Aidil berkata dia telah membuat laporan di Balai Polis Nusajaya, Johor Bahru pada Khamis berhubung perbuatan Rita itu dengan alasan pendedahan berkenaan telah mengganggu dia dan isteri. Inilah status dari Instagram Rita Rudaini yang mengundang kontroversi. Mengenai nombor telefon itu Aidil mengakui ia adalah milik isterinya dan telah menggunakan telefon berkenaan untuk menghubungi Rita pada malam Rabu lalu kerana ingin bercakap dengan anak-anak. Kata Aidil, dia juga berhasrat menjemput mereka ke majlis cukur jambul anaknya bersama Zarema iaitu Ayden Zeeyad yang berusia 3 bulan namun panggilan tersebut tidak berjawab. "Diakui saya cuba menghubungi Rita menggunakan telefon bimbit isteri saya kerana Rita telah sekat nombor saya agar tidak boleh menghubunginya. "Saya menelefon dia pun ada sebabnya, mahu bercakap dengan anak-anak tetapi dia tidak menjawab panggilan itu. “Mengapa dia nak menipu mengatakan nombor Zarema itu kerap menghubunginya? Saya tidak faham apa tujuan dia berbuat demikian," ujar Aidil dengan nada kesal. "Syukurlah Aidil Buat Laporan Polis" - Rita Rudaini Sementara itu, Rita yang dihubungi mStar Online bersyukur Aidil membuat laporan polis sekali gus mendedahkan identiti sebenar pemilik nombor berkenaan. Malah kata Rita, ini bukan kali pertama dia menerima gangguan tersebut dan sebab itu dia mendedahkan nombor telefon berkenaan menerusi akaun Instagramnya. "Saya bersyukur bila dia bertindak membuat laporan polis dan saya tidak pernah menyebut nama pemilik nombor berkenaan kepada umum," katanya. Menjawab dakwan Aidil yang mengakui membuat panggilan tersebut untuk menjemput mereka ke majlis cukur jambul anaknya, Rita berkata, bekas suaminya boleh menghantar mesej kepadanya. "Kalau benar hendak menjemput kenapa tidak menghantar mesej? Kenapa suka menipu sedangkan hari jadi anak pun dia tidak telefon atau menghantar mesej. "Cukup-cukuplah hendak 'cover' tindakan isterinya itu," jelasnya. Rita juga berkata, Aidil pernah membuat pengakuan kepadanya Zareema gemar membuat gangguan seperti itu dan sebagai suami, Aidil sudah tidak boleh berbuat apa-apa dengan sikap isterinya itu. Hasil perkawhinan Aidil dan Rita sebelum ini mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.