PETALING JAYA: Penyanyi Sam (Bunkface) mengajak orang bujang di luar sana yang mempunyai pasangan kekasih agar cepat berkahwin kerana dunia rumah tangga amat menyeronokan. Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 27, berkata kehidupan seseorang suami itu akan menjadi lebih terurus selain diri itu dirasakan lebih dihargai. "Macam dulu saya ingat boleh hidup sendirian tetapi bila difikirkan kembali kehidupan berumah tangga lebih bagus kerana ada orang jaga serta sayang kita dan saya rasa kehidupan kini semakin terurus walaupun belum ada anak lagi. "Saya juga berasa perbezaan yang lain kerana bila bangun dari tidur boleh liihat isteri berada di sebelah dan dia menyambut bila balik tetapi saya perlu banyak lagi pengalaman untuk mengharungi alam kehidupan berumah tangga," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Selasa. Terdahulu Sam selamat bergelar suami kepada Aida Azira Husin, 28, dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan pada 25 April lalu di Dewan Sapura, Jalan tasek, Mines Resort City, Seri Kembangan. Sam bersama isterinya Aida ketika berbulan madu di sebuah pulau di Thailand. Foto dari Instagram Sam. Sam dan isterinya menjadikan pulau terpencil, Ko Tao, Thailand sebagai destinasi berbulan madu mereka. Sam berkata, sebagai pasangan yang sudah berumah tangga, seseorang itu diajar agar tidak pentingkan diri dan perlu mendapat persetujuan bersama dalam membuat keputusan. "Kini setiap keputusan yang hendak dilakukan saya perlu berbincang dan mencapai persetujuan bersama pasangan kerana itulah sebenar perkahwinan bagi saya. "Sebelum membuat keputusan saya perlu fikirkan mengenai isteri terlebih dahulu kerana jika kita melakukannya tanpa berfikir mengenai pasagan, kita sebenarnya seorang selfish (pentingkan diri) jadi perkara itu yang saya belajar selepas berkahwin," katanya. Sementara itu, ditanya adakah isterinya sudah mengandung, Sam berkata ia masih terlalu awal kerana mereka baru sebulan berkahwin dan masing-masing sibuk dengan tugas. Dalam perkembangan lain, Sam bersama kumpulannya Bunkface dalam proses menyiapkan single terbaharu bertajuk Masih Disini yang merupakan lagu tema filem BoBoiBoy The Movie.