suria

Hairul Azreen Enggan Ambil Serius Kontroversi Peraduan Kad Kahwin

Hairul Azreen dan Hanis Zalikha.
PETALING JAYA: Pelakon Hairul Azreen enggan mengambil serius mengenai komen buruk yang diterima gara-gara menganjurkan peraduan untuk membolehkan peminat memenangi kad jemputan kahwinnya bersama aktres Hanis Zalikha pada 5 Jun depan.

Hairul berkata, peraduan tersebut dianjurkan khas buat peminat-peminat yang sentiasa memberi sokongan di mana sesiapa yang membeli produk kecantikan Toujours dan mendapati terdapat fotonya bersama Hanis dalam kotak tersebut, maka mereka berpeluang menghadiri majlis resepsi perkahwinan itu.

"Tujuan utama menganjurkan peraduan itu adalah untuk peminat-peminat kami. Tiada niat lain. Biarlah apa orang nak kata. Saya tidak ambil pusing pun dengan komen-komen tersebut.

"Lebih baik saya beri fokus terhadap persiapan perkahwinan saya yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi lagi," katanya kepada mStar Online pada Khamis.

Hairul dan Hanis bakal bernikah pada 5 Jun ini.

Kira-kira dua minggu lalu, Hairul dan Hanis telah memuat naik foto mereka mengiklankan peraduan 'Beli dan Menang' produk kolagen Toujours Advanced bagi membolehkan peminat memenangi jemputan khas ke majlis resepsi mereka.

Majlis resepsi pasangan itu akan diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 14 Jun 2015.

Bagaimanapun ramai netizen menyifatkan pasangan tersebut tidak wajar membuat peraduan bagi majlis keraian seperti itu.

Terdahulu, pasangan itu juga turut dikecam gara-gara lamaran Hairul menerusi konsert akhir Gegar Vaganza pada 5 Januari lalu.

Sementara itu Hairul berkata, dia menyifatkan komen-komen negatif itu sekadar pendapat masing-masing dan tidak pernah terasa hati mengenainya.

"Saya pernah kena hentam lagi teruk daripada apa yang berlaku sekarang dan tidak pernah ambil pusing dengan setiap kata-kata negatif itu. Lebih-lebih lagi sekarang ini fokus saya adalah mahu kahwin. Saya mahu majlis selesai dengan secepat mungkin, barulah boleh lega.

"Apa-apa pun doakan perjalanan majlis kami nanti berjalan dengan lancar," pintanya.

Hairul Azreen, Hanis Zalikha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain