suria

Sasha Saidin Ragu-Ragu Untuk Kahwin Lagi

Sasha mengakui sedang berkawan rapat dengan seorang jejaka. Foto SAM THAM.
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon Sasha Saidin masih belum bersedia untuk berkahwin buat kali ketiga biarpun kini sedang berkawan rapat dengan seseorang.

Sasha, 39, berkata, kegagalan menerusi dua perkahwinan sebelum ini membuatkan dia berasa ragu-ragu dan menyerahkan hal itu kepada jodoh.

"Bukan saya serik tetapi rasa ragu-ragu itu ada kerana sudah dua kali saya gagal dalam perkahwinan.

"Pun begitu saya tidak menafikan sedang berkawan rapat dengan seseorang cuma belum masanya untuk mengakhiri hubungan itu ke alam perkahwinan," katanya kepada mStar Online.

Sasha ditemui pada majlis pelancaran drama Fajar Di Bukhara yang diadakan di Hotel Federal di sini, Jumaat.

Drama 26 episod arahan Zulkiflie R.shad itu turut menampilakan barisan pelakon seperti Azrel Ismail, Maria Farida, Ainul Aishah, Aziza Halilova dan Zizan Nin.

Sasha Saidin tetap kelihatan anggun walaupun usianya sudah mencecah 39 tahun.

Ia bakal menemui penonton di saluran TVi (Astro 180) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 9 malam bermula 15 Jun ini.

Fajar Di Bukhara turut ditayangkan di TV1, setiap hari pada pukul 7 malam bermula 22 Jun depan.

Dalam pada itu, Sasha mengakui mendapat tekanan daripada keluarga dan kenalan rapatnya untuk segera berkahwin terutama daripada ibunya.

Kata Sasha, ibunya bimbang dia berasa kesunyian dan berharap ada seseorang yang dapat menjaganya dan anak lelaki tunggalnya.

"Biasalah seorang ibu dia sentiasa bimbangkan saya dan berharap saya akan segera berkahwin dan saya faham perasaannya.

"Tetapi saya tidak boleh buat keputusan berdasarkan permintaan orang lain kerana jujurnya saya selesa  dengan kehidupan sekarang," ujarnya.

Tambah Sasha, pemuda yang rapat dengannya itu juga memahami kebimbangan yang bermain  dalam dirinya dan tidak pernah mendesak untuk segera berkahwin.

Terdahulu Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian.

Bekas anggota kumpulan Elite itu kemudiannya berkahwin dengan Salyo Priyanto seorang warga Indonesia pada 2007 sebelum bercerai pada 10 Julai 2012.

Menerusi perkahwinan kedua itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono yang kini berusia enam tahun.

Dalam perkembangan lain, Sasha berkata, selain lakonan dia kini banyak menumpukan perhatian kepada bidang peragaan kerana rezekinya lebih banyak ke arah itu.

Kata Sasha, hampir setiap minggu dia ditawarkan sebagai model peragaan untuk pertunjukkan fesyen.

"Alhmadulillah rezeki saya tahun ini banyal dalam bidang peragaan selain pengacaraan. Saya anggap itu sebagai rezeki anak kerana sekarang apa sahaja saya lakukan adalah demi membesarkannya," katanya.

Selain Fajar Di Bukhara, Sasha berkata, suaranya juga bakal digunakan menerusi filem How to Train A Dragon 2 versi Bahasa Malaysia untuk siaran Fox Movies pada Hari Raya akan datang.

"Suara saya digunakan untuk watak Astrid dalam filem berkenaan dan saya cukup teruja dengan projek tersebut," jelasnya.
Sasha Saidin

Artikel Sebelum

Artikel Lain